Sun, 5 Apr 2026
Headlines:
Pekerja hotel maut tertimbus tanah runtuh
Published on: Thursday, March 12, 2026
Published on: Thu, Mar 12, 2026
By: Winnie Kasmir
Text Size:
Text:
Pekerja hotel maut tertimbus tanah runtuh
Mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba.
SANDAKAN: Seorang pekerja hotel berusia 72 tahun maut tertimbus tanah runtuh ketika cuba menghidupkan genset di bahagian belakang hotel tersebut, awal pagi Rabu. 

Agustine Frederick J Lingam disahkan meninggal dunia di belakang Hotel London selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Advertisement
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung, berkata sebuah jentera bersama anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 6.39 pagi. 

RUNTUHAN berlaku di belakang kawasan bangunan ini. – fotoBERNAMA “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel tersebut terputus.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Staf hotel kemudian cuba menghidupkan set penjana (genset) yang terletak di belakang bangunan. Namun menurut saksi di lokasi, mangsa telah tertimbus tanah runtuh semasa cuba menghidupkan set penjana tersebut,” katanya, menambah mangsa tertimbus separuh badan oleh runtuhan tanah. 

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa pada jam 7.14 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis. Operasi ditamatkan pada jam 8.19 pagi selepas pihak bomba memasang sawar keselamatan dan memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.

Advertisement
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson mengisytiharkan kawasan bangunan di Lebuh 4, Blok 10, di pusat bandar sebagai kawasan bencana susulan kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh yang menjejaskan beberapa premis di kawasan tersebut pada Rabu. 

Walter berkata, pihaknya mendapati masih terdapat pergerakan tanah di bahagian cerun di belakang bangunan terbabit. Kawasan berkenaan kini ditutup kepada orang awam sementara pihak berkuasa menjalankan penilaian lanjut terhadap kestabilan cerun dan struktur bangunan di kawasan itu.

Advertisement
Dalam kejadian tersebut, sebatang pokok warisan yang dipercayai berusia lebih 30 tahun tumbang dan menimpa tiga blok bangunan yang terdiri daripada sebuah bangunan lima tingkat, sebuah bangunan tiga tingkat serta sebuah hotel tiga tingkat.

Insiden itu menjejaskan kira-kira 32 unit premis, termasuk unit kedai dan sebuah blok hotel, dengan anggaran awal melibatkan sekitar 25 keluarga yang tinggal atau bekerja di kawasan berkenaan. Hujan lebat tanpa henti sejak Selasa dianggap penyumbang utama kejadian itu.

Walter berkata, proses pendaftaran mangsa masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar penduduk yang terjejas.

“Bagi penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal alternatif, mereka akan ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Sandakan yang telah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara,” katanya.

Beliau memaklumkan kebanyakan bangunan lama di pusat bandar Sandakan dibina sekitar 1950-an hingga 1970-an dan terletak berhampiran lereng bukit, yang berpotensi terdedah kepada risiko pergerakan tanah.

Sehubungan itu, MPS telah mengarahkan Ketua Jurutera MPS untuk menjalankan pemeriksaan terperinci dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta mendapatkan khidmat jurutera perunding yang pakar dalam kajian cerun.

Langkah tersebut bertujuan memastikan keselamatan cerun di kawasan pusat bandar Sandakan bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang pada masa hadapan.

Sementara itu, kira-kira 80 kuburan di Tanah Perkuburan Sim Sim akan dipindahkan ekoran tanah runtuh itu.

Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (Jheains) Cawangan Sandakan, Rahmin Arman, berkata kejadian tanah runtuh di kawasan perkuburan tersebut telah beberapa kali berlaku, terutamanya ketika musim hujan lebat. 

Katanya, Jheains akan mengadakan pertemuan dengan keluarga waris bagi membincangkan syor pemindahan itu. 

“Seperti kejadian sebelum ini, kita telah mengesyorkan pemindahan kuburan terjejas ke Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudah di Batu 11,” katanya.

Jheains berharap solusi itu mendapat persetujuan keluarga waris agar kuburan tersebut dapat dipindahkan secepat mungkin.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here