Kota Kinabalu: Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong menggesa Kerajaan Negeri dan kementerian berkaitan memandang serius amaran mengenai kemungkinan berlakunya fenomena El Niño serta bertindak segera.
Merujuk unjuran saintifik terkini yang menunjukkan kebarangkalian tinggi El Niño kuat terbentuk menjelang pertengahan 2026, beliau berkata Sabah tidak boleh berasa selesa memandangkan kelemahan sedia ada yang dihadapi negeri ini.
“Sebagai negeri yang ekonominya masih berkait rapat dengan sektor pertanian, Sabah berdepan risiko besar akibat tempoh kemarau berpanjangan dan keadaan haba melampau yang dikaitkan dengan El Niño,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Wong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru serta bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, memberi amaran mengenai kemungkinan gangguan sekiranya persiapan tidak dibuat lebih awal.
Katanya, kegagalan membuat persediaan boleh menjejaskan pengeluaran makanan, meningkatkan kos kepada petani serta mencetuskan kesan ekonomi yang lebih luas.
Wong berkata Sabah masih berdepan masalah bekalan air berterusan yang menjejaskan beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Kinarut, Kuala Penyu, Sepanggar, Tawau dan Sandakan.
“Dalam konteks ini, kemungkinan berlakunya El Niño kuat menjadikan lebih mendesak bagi pihak berkuasa menangani masalah bekalan air yang berlarutan dan mendesak ini,” katanya.
Beliau menambah banyak kawasan luar bandar sudah terdedah kepada kemarau berpanjangan, menjadikan campur tangan awal, pengurusan air yang lebih baik, peningkatan kapasiti takungan, sokongan kepada petani serta perancangan luar jangka sebagai langkah penting.
“Kos akibat tidak bertindak akan jauh lebih besar berbanding kos membuat persediaan, dan Sabah tidak boleh menunggu sehingga keadaan menjadi lebih buruk sebelum bertindak,” katanya.