Kota Kinabalu: Seorang pekerja binaan warga Filipina berusia 35 tahun yang didakwa membunuh isterinya di pusat bandar empat tahun lalu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada Khamis untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid membuat keputusan itu terhadap Nul Sadam Jemsi selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh sekali gus memerintahkannya membela diri.
Mahkamah menetapkan 24 April untuk pembelaan tertuduh.
Nul yang memegang dokumen IMM13 didakwa membunuh Nasfidah Japarah, 22, antara jam 10 malam hingga 11.47 malam pada 22 Mac 2022 di sebuah bilik sewa di tingkat tiga, Blok J, Segama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, pesalah lelaki berumur bawah 50 tahun boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.
Sepanjang peringkat pendakwaan seramai 16 saksi dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lovely Natasha Charles bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani manakala tertuduh diwakili peguam Jamadi Saleh.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh terus direman kerana pertuduhan tersebut tidak memperuntukkan jaminan.