Kota Kinabalu: Beberapa insiden pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang berlaku kebelakangan ini kembali mencetuskan kebimbangan di peringkat nasional, sekali gus menyorot krisis, yang menurut pakar, sebenarnya boleh dicegah namun berkait rapat dengan sikap masyarakat terhadap alkohol dan tanggungjawab.
Di sebalik setiap kes bukan sekadar angka statistik, sebaliknya meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga mangsa apabila kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba.
Pakar kesihatan awam menegaskan kejadian seumpama itu bukan sekadar kemalangan, sebaliknya akibat keputusan cuai yang sebenarnya boleh dielakkan.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Abdul Rahman Ramdzan
berkata memandu di bawah pengaruh alkohol menjejaskan pertimbangan serta masa tindak balas pemandu, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan maut.
“Dari sudut moral dan kesihatan awam, ini adalah risiko yang tidak boleh diterima yang dikenakan ke atas pengguna jalan raya yang tidak bersalah,” katanya.
Di peringkat global, pengambilan alkohol dikaitkan dengan jutaan kematian setiap tahun, dengan kemalangan jalan raya menyumbang sebahagian besar daripada jumlah tersebut.
Di Malaysia, walaupun peruntukan undang-undang serta hukuman di bawah akta pengangkutan jalan telah diperketatkan, jurang penguatkuasaan dan kes berulang menunjukkan hukuman semata-mata masih belum mencukupi untuk membendung masalah itu.
Pakar kesihatan awam menekankan keperluan pendekatan lebih menyeluruh dengan langkah pencegahan dilaksanakan pada pelbagai peringkat, termasuk mengehadkan akses kepada alkohol, meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan alternatif lebih selamat seperti pemandu ditetapkan atau penggunaan perkhidmatan e-hailing.
Penguatkuasaan juga perlu diperkukuh melalui langkah seperti ujian pernafasan secara rawak, penggantungan lesen dan rondaan yang lebih ketara, yang terbukti berkesan di beberapa negara jika dilaksanakan secara konsisten sebagai pencegah.
Bagaimanapun, penyelesaian jangka panjang memerlukan perubahan norma sosial kerana pengambilan alkohol dalam banyak keadaan masih diterima secara sosial dan kadangkala secara tidak langsung mendorong tingkah laku berisiko seperti memandu selepas minum.
Abdul Rahman menegaskan pemanduan di bawah pengaruh alkohol bukan sahaja perlu dianggap sebagai kesalahan undang-undang, malah perlu menjadi sesuatu yang tidak boleh diterima oleh masyarakat.
Perbincangan mengenai isu ini turut melibatkan keperluan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka yang sering berdepan trauma emosi serta kesukaran kewangan dengan sokongan yang terhad.
Seruan juga semakin meningkat agar diwujudkan mekanisme pampasan lebih tersusun yang mewajibkan pesalah memikul tanggungjawab lebih besar terhadap kerosakan yang ditimbulkan.
Langkah sedemikian selaras dengan prinsip keadilan pemulihan yang menekankan akauntabiliti pesalah bukan sahaja melalui hukuman penjara tetapi juga dalam memenuhi keperluan mangsa.
Menurut pakar, respons bersepadu yang melibatkan agensi kerajaan, badan penguat kuasa, komuniti dan premis yang menjual alkohol perlu diperkukuh bagi menangani isu tersebut secara berkesan.
Kempen kesedaran awam juga perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya bersifat sementara agar mesej keselamatan jalan raya kekal relevan walaupun selepas sesuatu kes tidak lagi menjadi tajuk utama.
Abdul Rahman berkata setiap nyawa yang terkorban bukan sekadar angka tetapi kehilangan besar kepada keluarga dan negara.
“Pencegahan tragedi ini memerlukan dasar yang lebih kukuh, penguatkuasaan yang konsisten serta perubahan sikap secara kolektif,” katanya.