TAWAU: Seorang lelaki menunggang motosikal dilapor hilang diberkas polis selepas turut didapati memiliki satu paket lutsinar berisi syabu semasa rondaan cegah jenayah di Lorong Muhibbah Bal, Jalan Kuhara pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek warga tempatan berusia 20 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Strike Team dari Balai Polis Tawau sekitar jam 3.30 pagi.
Advertisement
_E.jpg)
“Ketika anggota polis cuba menahan suspek untuk tujuan pemeriksaan, lelaki terbabit cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas anggota polis menggunakan kekerasan minimum.
“Hasil pemeriksaan tubuh badan ke atas suspek, polis tidak menemui sebarang barang salah.
“Bagaimanapun pemeriksaan lanjut terhadap beg silang yang dibawanya membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.
Jasmin berkata pemeriksaan juga dilakukan terhadap motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna hitam yang ditunggang suspek dan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu serta dilaporkan hilang pada 4 April lalu.
Advertisement

Beliau berkata semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah.
“Suspek telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.