PAPAR: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menggesa semua majlis daerah di Sabah agar memperketat pemantauan terhadap konsesi dilantik bagi memastikan setiap tanggungjawab diamanahkan dilaksanakan secara berkesan.
Beliau menegaskan pemantauan itu bukan saja melibatkan konsesi jalan di bawah seliaan kerajaan malah turut merangkumi konsesi yang dilantik sendiri oleh majlis daerah termasuk kerja-kerja penyelenggaraan seperti pemotongan rumput, pembersihan kawasan awam serta penyelenggaraan kemudahan infrastruktur.
Advertisement
_E.jpg)
Menurutnya pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik dan sewajarnya setiap konsesi dilantik perlu dipastikan komited melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti.
“Semua majlis daerah perlu mengambil pendekatan proaktif dengan memantau prestasi konsesi secara berkala. Sekiranya terdapat kegagalan dalam melaksanakan tanggungjawab, tindakan tegas perlu diambil.
“Ia adalah amanah yang perlu dipikul dengan sebaiknya. Ini yang sering saya tekankan dalam setiap lawatan kerja ke daerah-daerah bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya ketika ditemui semasa lawatan kerja ke Majlis Daerah Papar (MDP) pada Khamis.
Dalam pada itu Mohd Arifin turut memberi penekanan serius terhadap isu Program Perumahan Rakyat (PPR) khususnya dari aspek penyelenggaraan, kebersihan dan keselesaan penghuni.
Advertisement

Beliau berkata perhatian berterusan perlu dilaksanakan supaya segala perkara berkaitan kepentingan penghuni PPR sentiasa berada dalam keadaan baik dan kondusif.
“Dalam sesi taklimat tadi saya telah minta supaya semua PPR ditinjau secara berkala antaranya perkara yang melibatkan kebersihan, penyelenggaraan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, sistem perparitan serta keselamatan perlu diberi perhatian utama.
“PPR tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penyediaan tempat tinggal semata-mata sebaliknya perlu menjadi persekitaran selesa dan selamat didiami,” katanya.
Sehubungan itu katanya aspek pengurusan dan penyelenggaraan harus diperkasa dari masa ke semasa kerana kerajaan mahu pastikan setiap projek PPR mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Sementara itu Mohd Arifin turut merakamkan penghargaan kepada MDP atas prestasi kewangan yang memberangsangkan apabila berjaya mencatat lebihan hasil bagi tahun 2025 sekali gus mencerminkan kecekapan pengurusan MDP dalam menjana pendapatan serta mengurus perbelanjaan secara berhemah.
“Manfaat lebihan hasil ini perlu diterjemahkan langsung kepada rakyat termasuk penambahbaikan kemudahan awam, penyelenggaraan infrastruktur serta peningkatan kualiti perkhidmatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau juga yakin pembinaan bangunan baharu dan tambahan MDP akan memberi impak positif terhadap kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Katanya kemudahan yang lebih selesa bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti kakitangan malah memudahkan urusan orang ramai yang berurusan di pejabat MDP.
“Saya berharap dengan siapnya bangunan baharu ini kelak ia akan memberi keselesaan kepada pegawai dan kakitangan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya.
Terdahulu beliau turut melawat projek naiktaraf Masjid Daerah Papar dan berpuas hati dengan pelaksanaannya yang pantas serta dijangka dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.