Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Keningau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Sabah Agricultural Marketing Authority (Sama), Jumaat.
Penerimaan watikah pelantikan itu disempurnakan dalam satu majlis ringkas di Wisma Pertanian, di sini. Jeffrey mendahului penerimaan watikah tersebut, diikuti barisan ahli jemaah pengarah agensi berkenaan.
Advertisement
_E.jpg)
Menurut Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Maffi), Datuk Jamawi Jaafar, agensi yang baru ditubuhkan di bawah Maffi itu akan berfungsi untuk membantu dalam sektor pemasaran dan hiliran produk pertanian, perikanan, penternakan serta industri makanan ke pasaran domestik mahupun eksport.
“Penubuhan Sama sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan industri agromakanan di Sabah, khususnya dalam aspek pemasaran dan pembangunan produk hiliran,” kata Jamawi.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan Jeffrey bersama jemaah pengarah yang dilantik akan mampu memacu Sama ke arah mencapai matlamat untuk memajukan sektor pemasaran hasil pertanian dan makanan negeri.
Sama dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan petani, penternak dan nelayan di Sabah melalui akses pasaran yang lebih teratur dan berdaya saing.