SANDAKAN: Satu langkah signifikan ke arah memartabatkan legasi bola sepak Sabah telah dimulakan menerusi pertemuan melibatkan bekas pemain lama dari Sandakan yang pernah mewakili negeri ini.
Pertemuan tersebut diadakan bersama Persatuan Bola Sepak Daerah Sandakan (PBDS) yang diwakili oleh Naib Presiden, Rusli Hassan, serta jurulatih berpengalaman Roslee Amat dan Hamizan Hamidin.
Advertisement
_E.jpg)
Pertemuan ini diadakan susulan pembentangan rasmi kepada PBDS berhubung cadangan projek pendataan bekas pemain Sabah serta pembangunan SDK Football Gallery bagi merakam sejarah dan sumbangan pemain terdahulu untuk generasi akan datang.
Projek ini merupakan inisiatif Musketeers Football Academy yang diterajui oleh Presidennya, Hardy Pudar, dan mendapat sokongan daripada PBDS sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh warisan bola sepak tempatan.
Menurut Hardy, beberapa program susulan turut dirangka bagi menghidupkan kembali semangat komuniti bola sepak, termasuk majlis silaturahim hi-tea, perlawanan amal legenda, serta Piala Komuniti yang akan menampilkan bekas pemain sebagai ikon inspirasi.
Selain itu, penerbitan sebuah buku khas yang menghimpunkan profil pemain lama serta pelaksanaan program ziarah dan rakaman video biografi turut dirancang bagi memastikan kisah dan sumbangan mereka terus dikenang.
Advertisement

Inisiatif SDK Football Gallery dijangka menjadi platform penting dalam memelihara sejarah bola sepak di Sandakan serta menghubungkan generasi lama dan baharu dalam satu ekosistem yang lebih tersusun dan beridentiti.