SANDAKAN: Penganjuran kursus kemahiran termasuk pembaikan telefon bimbit dilihat bertepatan dengan keperluan semasa dalam dunia komunikasi khususnya dalam membantu golongan B40 bandar menjana pendapatan.
Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata program seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi kemahiran malah membuka peluang kepada peserta untuk menambah pendapatan sampingan atau menjadikannya sebagai kerjaya.
“Program ini bukan sekadar memberi kemahiran teknikal tetapi merupakan instrumen untuk kelangsungan hidup, pertumbuhan dan kemakmuran masa hadapan.
“Kita bukan sahaja melatih kemahiran tangan tetapi turut membentuk minda dan memupuk semangat juang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2026 anjuran Persatuan Usahawan dan Iktisas Wanita Sabah (Swepa) pada Ahad.
Seramai 40 peserta terdiri daripada golongan B40 bandar menyertai kursus tujuh hari itu yang ditaja Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Vivian berkata sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program PEKB tahun ini melibatkan 1,100 Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada kategori eKasih serta B40 di seluruh negara.
Menurutnya program seumpama itu menyediakan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran termasuk servis pembaikan peralatan, makanan dan minuman serta fotografi mudah alih.
Beliau berkata pendekatan holistik program melalui modul pembangunan minda insan, celik kewangan dan bina upaya turut membantu peserta membina keyakinan serta meneroka dunia keusahawanan.
Sementara itu Presiden Swepa, Betty Bridget Epin berkata pihaknya akan terus memantau dan membimbing peserta dalam tempoh 12 bulan bagi memastikan perniagaan yang diusahakan bukan sahaja bertahan malah berkembang.
“Kami ingin melihat peserta berdiri sebagai usahawan yang mandiri, berdaya saing dan berjaya,” katanya.