RANAU: Pasukan RS mengatasi 15 pasukan lain untuk muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Unifi sekali gus membawa pulang pingat, trofi dan baucar bernilai RM1,000.
Dalam pertandingan itu, Matra FC muncul naib juara, menerima pingat dan baucar RM800, manakala tempat ketiga dimenangi JAF A, yang turut membawa pulang pingat dan baucar RM500.
Kejohanan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Unifi dan Clasico Ranau, diadakan di Padang Kampung Sinarut Baru baru-baru ini, mendapat sambutan baik daripada pasukan tempatan.
Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah RS, Matra FC, JAF B, Sinar Villa, Liwagu FC, Ranau Frenz, Bindrow, Langanan FT, Sigap FT, Tinanom F, Black Pantera, Cemilan Warisan FT, JAF A, Pia Hitam FC, R&J FT dan Thunder FC.
Turut memeriahkan kejohanan ialah penyertaan pasukan Unifi dan Parlimen yang menambahkan lagi semangat pertandingan.
Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, menyempurnakan gimik perasmian serta penyampaian hadiah sekali gus menutup tirai kejohanan yang berjalan lancar dan penuh semangat kesukanan.