TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan penyeludupan keluar 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran selepas berhasil memintas sebuah bot di perairan Tawau pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata seorang lelaki warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai juragan bot berkenaan turut ditahan selepas dikesan membawa barangan bersubsidi terbabit tanpa sebarang permit kebenaran.
“Juragan terlibat dipercayai cuba menyeludup keluar tong-tong yang berisi LPG ini ke negara jiran dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati nama suspek juga tidak terdapat di dalam butiran daftar lesen bot yang dikemudinya.
“Penahanan itu dijalankan oleh sepasukan penguatkuasa Maritim menerusi bot peronda dalam Op Pluto Timur dan Op Tiris selepas menerima maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan sebuah bot yang menuju ke Pulau Sebatik dari arah Jeri Batu 3 Jalan Apas pada jam 6.20 pagi,” katanya pada Isnin.
Ariffin berkata bot berkenaan berhasil dipintas pada kedudukan 1.6 Batu Nautika Selatan dari Batu 3 Jalan Apas sebelum juragan dan kesemua barang rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000 terlibat dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Tindakan penguatkuasaan yang diambil ini dilakukan oleh pihak kita selaras dengan peruntukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.