Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Khamis diberitahu bahawa metodologi yang digunakan untuk menganalisis 15 telefon bimbit dalam kes Zara Qairina Mahathir adalah berasaskan ISO 17025 iaitu satu piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Penganalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer ASP Mohd Zaidi Abu Hassan memaklumkan bahawa beliau menggunakan prosedur operasi standard (SOP) ISO 17025 sebagai panduan dalam menjalankan analisis bukti digital khususnya telefon bimbit.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Sofia S Sawayan, beliau menjelaskan bahawa ISO merupakan piawaian yang ditetapkan oleh badan antarabangsa untuk akreditasi makmal yang menjalankan ujian.
Menurut Mohd Zaidi beliau telah mengamalkan piawaian ISO 17025 selama tiga tahun dalam bidang forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau turut mengesahkan bahawa metodologi yang digunakan dalam analisis bahan bukti adalah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Dalam keterangannya Mohd Zaidi berkata beliau mempunyai pengalaman selama 19 tahun dalam bidang tersebut telah menganalisis kira-kira 7,000 kes dan pernah memberi keterangan di mahkamah sebelum ini.
Beliau menjelaskan bahawa analisis dijalankan menggunakan perisian XRY iaitu perisian khas untuk mendapatkan data daripada telefon bimbit termasuk senarai kenalan, imej, video, WhatsApp, SMS serta data media sosial.
“Perisian ini juga boleh menganalisis kad memori dan kad sim,” katanya.
Menjawab lanjut beliau berkata penggunaan XRY adalah mengikut piawaian ISO serta garis panduan antarabangsa dan dalam kes ini, analisis dijalankan selaras dengan piawaian tersebut.
Mohd Zaidi turut memaklumkan bahawa perisian XRY dipasang pada komputer pejabatnya sahaja yang hanya boleh diakses olehnya.
Katanya pemasangan perisian tersebut dilakukan oleh pembekal (vendor) manakala integriti peralatan dikekalkan melalui kawalan akses yang ketat.
Ketika diminta untuk menunjukkan penggunaan XRY di mahkamah, beliau menjelaskan bahawa perkara itu tidak dapat dilakukan kerana perisian tersebut hanya boleh digunakan pada komputer berkeupayaan tinggi yang berada di pejabatnya.
Mengulas lanjut mengenai proses analisis beliau berkata telefon bimbit akan diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan ia berfungsi sebelum disambungkan ke komputer analisis.
“Perisian XRY kemudian digunakan untuk mengekstrak data daripada telefon tersebut. Proses yang sama turut digunakan bagi kad sim dan kad memori yang dianalisis secara serentak,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam kes ini tiada individu lain yang membantu beliau menjalankan analisis menggunakan perisian tersebut.