Kota Kinabalu: Pemanah pasukan para Sukma Sabah merangkul lima emas berserta empat pingat perak dan dua gangsa dalam kategori satu di Sirkit Memanah Para Kebangsaan Allianz-MSN 1 2026 bertempat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg. Pandan, Kuala Lumpur dari 14-18 April.
Pemenang pingat emas ialah Charlie Jekulis/ Fredoline Modius (pasukan recurve lelaki), Mohd Fakrul Azam Roslen / Arthur Sinabil (pasukan compound lelaki), Charlie Jekulis/ Suzillah Saunin (pasukan recurve campuran), Arthur Sinabil (individu compound lelaki) dan Fredoline Modius (individu recurve lelaki).
Pingat perak disumbangkan oleh Lidwina Isidore Andilah/Nurizzati Zahidah Hasanudin (pasukan compound wanita), Mohd Fakrul Azam Roslen/ Lidwina Isidore Andilah (pasukan compound campuran), - Lidwina Isidore Andilah (individu compound wanita) dan Suzillah Saunin (individu recurve wanita), manakala gangsa diperolehi menerusi Mohd Faizal Abdullah (individu compound lelaki) dan Charlie Jekulis (individu recurve lelaki).
Pasukan 12 anggota itu diketuai ketua jurulatih Paul Leong dibantu jurulatih Elaine Van dan Mohamad Naqiyuddin Mohamad Nadzri bersama tiga ejen anak panah.
Paul berkata Nurkhadijah Husna Budiman berusia 13 tahun, yang termasuk dalam pasukan itu beraksi cemerlang untuk memenangi emas dalam acara recurve kategori 2 wanita.
Menurutnya, pelajar SMK Inanam itu baru menceburi sukan itu kurang setahun selepas mendapat galakan daripada Pakar Perubatan Pemulihan Dr Thor Ju An.
Advertisement

Tambahnya, terdapat sedikit pembaikan atau pelarasan yang akan dibuat kepada pasukan itu menjelang sirkit kedua yang dijadualkan pada Jun sebelum Para Sukma di Selangor pada September.