SANDAKAN: Kumpulan Sawit Kinabalu menyumbangkan 300 kotak barangan keperluan harian kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, di sini pada Jumaat.
Ia disampaikan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa di Kampung Bahagia dan Pusat Penempatan Sementara (PPS) PPR Taman Batu Sapi, kepada Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Sandakan, Irman Tajuddin Edy mewakili Presiden MPS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Datuk Walter Kenson.
Turut disampaikan 2,000 bakul makanan sumbangan misi kemanusiaan oleh sebuah badan bukan kerajaan, Harbour Gateway Sdn Bhd.
Hazem berkata sumbangan itu merupakan sebahagian program bantuan bencana alam syarikat itu.
Selain itu, Adun Sungai Manila itu berkata pihaknya juga telah menghantar bantuan air minuman kepada mangsa terjejas sejak hari pertama kejadian itu.
Tambahnya, selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sawit Kinabalu terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan memerlukan.
Advertisement

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang melawat mangsa di sini, di mana ketua isi rumah turut menerima bantuan RM2,000.