Kota Kinabalu: Sebanyak 150 pasukan dari seluruh negara mengambil bahagian dalam Kejohanan Petanque Berpasangan Terbuka Piala Mayor yang berlangsung di Taman Awam Teluk Likas.
Pesaing termasuk pemain negara yang pernah beraksi di Piala Dunia dan Sukan SEA, serta pasukan Sukma Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Sabah.
Majlis perasmian acara dua hari anjuran Dewan Bandaraya, sempena ulang tahun ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Datuk Lifred Wong mewakili Mayor Datuk Seri Sabin Samitah pada Sabtu.
Beliau dalam ucapannya berkata program sukan komuniti dimulakan dengan misi menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti riadah yang sihat.
“Lebih daripada itu, ia adalah platform terbaik untuk mencari bakat baharu dan meluaskan rangkaian hubungan antara kelab, persatuan dan pemain petanque di seluruh Sabah.
“Saya yakin acara ini bukan sahaja menyokong pembangunan sukan, malah berpotensi menjadi acara tahunan yang membantu pembangunan aktiviti sosial dan peningkatan ekonomi setempat,” katanya.
Advertisement

Beliau gembira melihat kejohanan itu mendapat kerjasama padu daripada Persatuan Sukan Boules Sabah dan Kelab Bayu Boules.
Beliau turut memuji jawatankuasa penganjur dan jurulatih kebangsaan Wahadhir Hamdan, yang merupakan ketua jawatankuasa teknikal atas sumbangan mereka bagi memastikan kejayaan kejohanan itu.