DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi jaminan bahawa penduduk yang tinggal berhampiran taman permainan di Luyang, lokasi sebuah “smartpole” didirikan tidak akan mengalami sebarang kesan buruk terhadap kesihatan buat masa ini kerana struktur itu masih belum beroperasi.
Jurucakap Jabatan Kawalan Bangunan DBKK berkata pihaknya kini sedang meneliti sama ada “smartpole” tersebut perlu dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.
Menurutnya pihak berkuasa tempatan itu memberi maklum balas susulan kebimbangan seorang pembayar cukai di Taman Primajaya mengenai kemungkinan kesan negatif struktur berkenaan terhadap kesejahteraan penduduk di kawasan sekitar.
“Smartpole” merupakan infrastruktur bandar pelbagai fungsi berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) yang berperanan sebagai hab berasaskan data.
Teknologi IoT merujuk kepada objek fizikal yang dilengkapi sensor, perisian serta sambungan rangkaian seperti Wi-Fi, Bluetooth dan selular bagi membolehkan ia mengumpul, bertukar dan bertindak terhadap data sama ada secara automatik atau kawalan jarak jauh.
Peranti ini disambungkan ke internet atau rangkaian lain sekali gus menjadikan objek biasa lebih pintar dan interaktif.
Jurucakap itu berkata semakan rekod mendapati pihak Dewan Bandaraya belum memberikan kelulusan untuk pemasangan “smartpole” di kawasan lapang di Lorong Prima Jaya 2.
“Tiada kebenaran akan diberikan dalam apa jua keadaan kerana tanah tempat struktur itu didirikan telah diwartakan sebagai kawasan ‘taman permainan’ bagi Taman Prima Jaya.
“Sehubungan itu ‘smartpole’ tersebut dianggap sebagai struktur haram,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Kawalan Bangunan (BCD) dimaklumkan mengenai kewujudan ‘smartpole’ itu pada Februari lalu selepas kakitangan Bahagian Landskap menemui struktur telekomunikasi tersebut semasa melakukan pemeriksaan di taman permainan berkenaan.
Menurutnya pihak DBKK kemudiannya berjaya mengenal pasti pemilik struktur telekomunikasi itu.
Beliau berkata kakitangan BCD telah mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat terbabit dan mengarahkan supaya ‘smartpole’ serta sebarang kelengkapan berkaitan ditanggalkan dari kawasan taman permainan tersebut.
“Ketika itu mereka secara lisan bersetuju untuk menanggalkan struktur berkenaan selepas tempoh Tahun Baharu Cina. Mereka turut dimaklumkan bahawa jika ‘smartpole’ itu masih kekal selepas tempoh tersebut maka ‘surat perobohan’ akan dikeluarkan kepada syarikat berkenaan,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata pemilik struktur tersebut kemudiannya mengemukakan surat kepada pihak berkuasa, merayu agar dibenarkan mengekalkan “smartpole” di lokasi sedia ada.
Beliau berkata pihak BCD dimaklumkan bahawa peralatan yang dipasang pada tiang itu masih belum diaktifkan.
“Pemilik menjelaskan bahawa struktur tersebut bertujuan menyediakan liputan rangkaian yang lebih baik kepada pelanggan di kawasan sekitar.
“Sehubungan itu syarikat berkenaan diminta mendapatkan pandangan pembayar cukai di Taman Primajaya sama ada ‘smartpole’ itu perlu dikekalkan di lokasi sekarang atau dipindahkan ke tempat lain,” tambahnya.
Menurutnya Jabatan Landskap DBKK turut diminta secara rasmi untuk memberikan pandangan berhubung perkara tersebut.
“Satu mesyuarat akan diadakan sebaik sahaja maklum balas daripada penduduk Taman Primajaya dan Jabatan Landskap diterima bagi menentukan tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu seorang jurucakap jabatan mengesahkan bahawa pemaju telah menyerahkan taman permainan tersebut kepada pihak berkuasa dengan kakitangan Landskap menjalankan penyelenggaraan secara berkala.