Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 72 tahun yang dikenali sebagai ‘Ustaz Ahmad’ dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 14 tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan.
Tertuduh Ahmad Matali membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan atas dua pertuduhan yang dihadapinya.
Advertisement

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan kerana mencium mulut seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bagi tujuan seksual di tepi jalan sebuah kampung di Papar pada penghujung Jun 2025.
Bagi pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun lagi serta satu sebatan kerana melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di ruang makan sebuah rumah di Papar, kira-kira jam 6.30 petang 5 Oktober 2025.
Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu dijalani secara berasingan (berturut-turut) bermula dari tarikh tangkapan.
Selain itu tertuduh turut diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan akan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah dimaklumkan kejadian pertama berlaku ketika mangsa berusia sembilan tahun berjalan bersama kakaknya di tepi jalan sebelum didatangi tertuduh yang memberikan wang RM1 kepadanya.
Tertuduh kemudian meminta mangsa mendekatinya sebelum memeluk dan mencium mulut mangsa selama hampir 10 minit. Perbuatan itu disaksikan oleh bapa saudara mangsa.
Bagi kejadian kedua, tertuduh dikatakan datang ke rumah mangsa berusia tujuh tahun untuk mengajarnya membaca al-Quran.
Selepas mangsa selesai membaca, tertuduh bertindak mencium mulut mangsa dan kejadian itu disaksikan oleh ibu mangsa.
Susulan laporan polis yang dibuat dan tertuduh berjaya ditahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis.