Kota Kinabalu: Seramai 50 finalis akan berentap untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM135,000 pada pertandingan akhir Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) 2026 peringkat negeri pada 27 Mei.
Pengerusi penganjur RTK, Casey Jovial berkata, edisi tahun ini antara yang terbesar pernah dianjurkan dengan menggabungkan elemen budaya, muzik dan persembahan moden.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Beliau berkata, juara keseluruhan akan menerima hadiah bernilai RM135,000, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM85,000 dan RM70,000.
Katanya, peserta di tempat keempat akan menerima hadiah bernilai RM26,000, manakala tempat kelima hingga ketujuh masing-masing menerima hadiah RM24,000.
Menurutnya, sembilan gelaran sampingan turut dipertandingkan sepanjang pertandingan itu.
Beliau berkata, tujuh finalis terbaik akan berperanan sebagai duta budaya bagi organisasi berkenaan selama setahun.
Berucap pada sesi pendaftaran peringkat negeri dan sidang media pada Sabtu, Casey berkata RTK kini berkembang daripada pertandingan tradisional sempena Kaamatan kepada platform budaya yang lebih luas untuk belia Kadazandusun.
“Program ini menggabungkan warisan budaya dengan persembahan moden bagi memastikan tradisi Sabah terus relevan kepada generasi muda,” katanya.
Program itu secara rasmi bermula pada Sabtu (16 Mei) dengan sesi pendaftaran peringkat negeri, manakala kesemua 50 finalis dijadual menyertai penggambaran video promosi Kaamatan hari ini (17 Mei).
Antara aktiviti yang diatur termasuk program RTK Cultural Village dari 19 hingga 24 Mei, pertandingan MasterChef di pekarangan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) serta acara “A Night of Cultural Fashion” di Hilton Kota Kinabalu pada 22 Mei.
Pameran percuma untuk orang ramai yang menampilkan penampilan dan persembahan finalis akan diadakan di Pusat Beli-belah Imago pada 23 Mei menjelang pertandingan akhir di Dewan KDCA, Penampang.