Kota Kinabalu: Lebih 20 penduduk kampung bergabung tenaga menangkap seekor buaya seberat 300 kilogram (kg) yang dipercayai sering muncul di perairan berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Selasa.
Seorang penduduk berkata, buaya sepanjang hampir 12 kaki itu ditangkap berhampiran kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas dikesan berada kira-kira 100 meter dari pesisir pantai.
Katanya, penduduk kampung menggunakan tiga perahu dan pukat ikan untuk menangkap reptilia berkenaan, namun dua percubaan awal gagal.
“Buaya itu kemudiannya diikat oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya.
Beliau berkata, reptilia itu sering kelihatan di perairan berhampiran UMS dan keadaan itu membahayakan penduduk, terutama mereka yang berkelah dan mandi-manda di kawasan berkenaan.
“Sebahagian penduduk, terutama kanak-kanak yang sering mandi di pantai, tidak menyedari kehadiran buaya itu kerana belum berlaku sebarang serangan atau kematian,” katanya.
Advertisement

Susulan penangkapan buaya itu, penduduk dan orang ramai dijangka lebih berhati-hati ketika berkunjung ke kawasan pantai berkenaan.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka dan, jika boleh, menghalang mereka daripada bermain atau mandi di pantai itu kerana difahamkan masih terdapat buaya lain yang bebas di kawasan berkenaan.