Kota Kinabalu: Dua lelaki didakwa di mahkamah pada Rabu atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta beberapa kesalahan berkaitan.
Tertuduh Yazid Yusof, 45, dan warga Indonesia Yupita Jubin, 42, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam.
Mereka didakwa menyamar sebagai pegawai JPN dengan memperkenalkan diri sebagai kakitangan jabatan itu kepada seorang wanita, Andi Rafida Alieya di Chaya Hotel kira-kira jam 7 malam pada 24 Oktober 2025.
Kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 Julai untuk pengurusan kes (PTCM) dan Yazid dibenarkan ikat jamin RM1,800 dengan dua penjamin serta syarat melapor diri di balai polis sekali sebulan.
Yupita pula diperintahkan untuk ditahan reman lanjut.
Advertisement

Dalam prosiding berasingan Yazid turut didakwa di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas satu lagi pertuduhan menyamar sebagai pegawai JPN.
Beliau mengaku tidak bersalah kerana didakwa memperkenalkan diri sebagai pegawai JPN kepada seorang lelaki Paulus Titus di Great Eastern Hotel pada 3 Disember 2025.
Mahkamah menetapkan 26 Jun untuk pengurusan kes dan membenarkan ikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin.
Sebelum itu Yazid turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Hurman Hussain atas pertuduhan menipu membabitkan RM5,000.
Dia didakwa memperdaya seorang lelaki menyerahkan wang tunai di hotel sama pada tarikh dan masa yang sama.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 namun mahkamah membenarkan RM3,000 dengan dua penjamin serta syarat melapor diri di balai polis.
Sementara itu Yupita juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan memiliki kad pengenalan milik orang lain dan kad pengenalan palsu di sebuah rumah di Taman Luyang pada 7 Mei 2025.
Kesalahan itu di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 13 Julai untuk pengurusan kes dan menawarkan ikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis dan Akaash Singh serta Inspektor Yusdi Basri dan Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.