KIULU: Cadangan penubuhan jawatankuasa dwipartisan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membincangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan hak 40 peratus hasil negeri, perlu melibatkan semua pihak termasuk pembangkang dan parti politik yang tidak mempunyai kerusi DUN.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendekatan itu penting supaya perbincangan berkaitan hak Sabah dapat dibuat secara lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada wakil rakyat semata-mata.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu itu, isu tuntutan 40 peratus hasil memberi kesan kepada seluruh rakyat Sabah, justeru semua pandangan dan idea wajar diberi perhatian tanpa mengira fahaman politik.
“Isu ini melibatkan kepentingan semua rakyat Sabah. Jadi adalah penting untuk kita mendengar pandangan daripada pelbagai pihak demi mencari penyelesaian terbaik,” katanya ketika merasmikan Sambutan Kaamatan dan Moginakan di Kampung Sinulihan, di sini, Sabtu.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata kerajaan negeri pimpinan GRS ketika ini sememangnya sedang giat memperjuangkan hak Sabah di bawah MA63 termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Bagaimanapun, katanya, penubuhan jawatankuasa dwipartisan mampu membantu mengumpulkan idea dan cadangan praktikal daripada semua pihak bagi memperkukuhkan usaha tersebut.
“Ini bukan soal siapa mendapat penghargaan, tetapi bagaimana kita dapat bergerak bersama demi kepentingan Sabah.
“Walaupun berbeza pandangan politik, dalam soal hak Sabah kita perlu mencari titik persamaan kerana perkara ini lebih besar daripada politik,” katanya.
Beliau turut berkata pendekatan dwipartisan dapat mengelakkan isu berkaitan MA63 dan tuntutan hasil negeri dijadikan modal politik setiap kali musim pilihan raya.
Menurutnya, PBS telah lama memperjuangkan isu MA63 dan hak 40 peratus hasil negeri sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1985.
“PBS pernah dikritik kerana terlalu lantang membangkitkan isu ini sehingga dilabel sebagai anti-persekutuan dan bersifat parokial.
“Namun hari ini semakin ramai menyedari bahawa mempertahankan hak Sabah adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Joniston berkata pengukuran tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) di Kiulu terus menjadi keutamaan kerajaan negeri.
Katanya, Jabatan Tanah dan Ukur telah meluluskan 312 permohonan daripada penduduk Kampung Sinulihan membabitkan pengukuran 2,087 ekar tanah NCR melibatkan 635 lot.