Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha bersama lebih 6,000 jemaah di Masjid Negeri Sabah (MNS) di sini, pada Rabu.
Ketibaan Tun Musa pada jam 7.20 pagi disambut Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan Sabah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (Exco Agama Sabah), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Datuk Awang Juri Awang Tahir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Solat Sunat Aidiladha Peringkat Negeri.
Solat Sunat Aidiladha bermula sekitar jam 7.30 pagi dan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Suhaidi Kuanting disusuli dengan khutbah Aidiladha bertajuk “Ibadah Korban Dihayati, Jiwa Keikhlasan Disuburi” yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar.
Seusai solat sunat dan khutbah Aidiladha, Tun Musa turut meluangkan masa bersalaman serta beramah mesra bersama para jemaah sebelum beredar meninggalkan majlis sekitar jam 9 pagi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Isnin Aliasnih; Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Malai Ali Malai Ahmad.
Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu Korban di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, di sini pada Rabu.
Beliau bersama Ahli Parlimen Tuaran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Wilfred Madius Tangau; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Adun Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan Adun Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt Noraidin Ag Maidin.

Terdahulu, Ketua Menteri menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Haji Noor di Kampung Serusup, Tuaran bersama penduduk di sekitar kampung berkenaan.
Hajiji juga mengambil peluang beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha.