Wed, 1 May 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Empangan di Pulau Sebatik mula beroperasi pada kadar minimum
Published on: Monday, April 01, 2024
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

Empangan di Pulau Sebatik mula beroperasi pada kadar minimum
SHAHELMEY (tujuh kanan, baris terakhir) bergambar bersama media selepas menyampaikan sumbangan Ramadan pada majlis berbuka puasa bersama media dan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim As-Sakinah di SICC, Sabtu.
Kota Kinabalu: Empangan Pulau Sebatik di Tawau yang sebelum ini dilaporkan kering akibat kemarau berpanjangan kembali menakung air selepas menerima hujan menerusi operasi pembenihan awan selama dua hari yang dijalankan sejak Khamis lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata walaupun kadar kejayaan pembenihan awan adalah pada 67 peratus, empangan kering di Pulau Sebatik sudah mula berfungsi tetapi pada kadar yang agak minimum.

Katanya, beliau dimaklumkan pada petang Sabtu bahawa loji rawatan air (LRA) yang memproses air empangan (di Pulau Sebatik) kini boleh beroperasi semula dengan kapasiti 0.3 juta liter sehari (JLH).

“Perkembangan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada penduduk Sebatik kerana pulau itu merupakan kawasan yang menghadapi masalah air kritikal akibat kemarau di Sabah sejak awal tahun ini, selain daerah Papar yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana pada 13 Mac lalu.

“Pembenihan awan yang dijalankan selama tiga hari sehingga Sabtu (30 Mac) menunjukkan kadar kejayaan 67 peratus bagi dua hari operasi berikutan hujan di Lahad Datu, Tawau dan Papar serta Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat pastikan sama ada terdapat hujan di kawasan tadahan yang menjadi punca air sungai dan empangan kita kecuali empangan Pulau Sebatik yang telah berisi semula pada tahap minimum dan loji rawatan airnya beroperasi dengan minimum 0.3 JLH,” katanya.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, kakitangan Pejabat Parlimen Putatan dan media, di sini, pada Sabtu.

Begitupun, katanya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) masih meneruskan pengagihan air melalui sumber air bawah tanah menggunakan lori tangki kepada penduduk Pulau Sebatik memandangkan air terawat yang boleh disalurkan ketika ini masih di tahap minimum.

Susulan peralihan monsun yang akan datang pada April, katanya, beliau berdoa agar hujan akan mula turun selepas operasi pembenihan awan dan menjangkakan dapat memulihkan paras air di semua sungai dan empangan di negeri ini tidak lama lagi.

Katanya, hujan di kawasan tadahan adalah penting bagi meningkatkan paras air sungai terutama di Papar di mana musim kemarau menyebabkan pengambilan air untuk Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau dipenuhi air masin, sekali gus loji tidak dapat memprosesnya menyebabkan loji berhenti beroperasi.

“Sungai masih mempunyai air tetapi tidak dapat dirawat kerana tahap kemasinan yang tinggi dan kita berharap dengan hujan di kawasan tadahan ia dapat menolak air masin ke hilir bagi membolehkan LRA Limbahau beroperasi semula,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata projek LRA Telibong Fasa 2 telah siap pada Disember tahun lalu dan penyambungan paip dari LRA Telibong Fasa 2 ke paip utama sedia ada telah dilaksanakan pada Januari tahun ini.

“Ketika ini, kami telah dapat menyalurkan tambahan 30 JLH air untuk pengguna di Kota Kinabalu daripada LRA Telibong Fasa Dua dan apabila pemasangan paip baharu di sepanjang laluan Pakej 8 Lebuhraya Pan Borneo siap pada penghujung tahun ini, kami akan dapat menyalurkan 50 JLH lagi menjadikan jumlah bekalan tambahan sebanyak 80 JLH daripada LRA Telibong Fasa 2.

“Ini dibuat selepas lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada awal tahun dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya Persekutuan di mana kerja-kerja pemasangan paip pada pakej 8 laluan Pan Borneo telah diselaraskan dengan peruntukan RM50 juta yang akan disiapkan hujung tahun ini supaya jumlah kapasiti air LRA Telibong Fasa 2 sebanyak 80 JLH dapat kita nikmati,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata gangguan bekalan air semasa yang dialami pengguna di Putatan, Ketiau dan Tombovo dijangka pulih sepenuhnya sebaik projek pembinaan LRA Urgent Water Supply Scheme (UWSS) Putatan yang diluluskan lepas tahun, akan memulakan kerja fizikalnya selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

“Sebuah syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd telah diarah mempercepatkan pembinaan LRA UWSS yang apabila siap, akan dapat membekalkan tambahan lima JLH.

“Apabila semua ini selesai, kita menjangkakan masalah tekanan air rendah dan bekalan tidak mencukupi di Kota Kinabalu dan Putatan dapat diselesaikan,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here