Wed, 1 May 2024

HEADLINES :


ADVERTISEMENT

Aidilfitri lebih bermakna bagi penerima Rumah SMJ
Published on: Sunday, April 07, 2024
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:

Aidilfitri lebih bermakna bagi penerima Rumah SMJ
RUSLAN menyampaikan replika kunci rumah SMJ kepada Aha’at di majlis itu.
BEAUFORT: Penantian sekian lama seorang nelayan untuk memiliki kediaman lebih sempurna akhirnya tercapai apabila rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) miliknya kini siap sepenuhnya untuk didiami.

Bagi Aha’at Madi, 55, bantuan kerajaan negeri itu adalah satu rahmat buat mereka sekeluarga yang sebelumnya hanya mampu tinggal di rumah kecil yang sudah usang di Kampung Kangsa, di sini.

Masakan tidak, dengan pendapatan tidak menentu sebagai nelayan kampung yang hanya mampu meraih sekitar RM500 sebulan, sudah tentu bapa kepada tiga anak ini tidak mampu memiliki rumah baharu.

“Saya hanya seorang nelayan kampung dengan pendapatan tidak seberapa yang sudah tentu tidak mampu bina rumah baharu yang lebih selesa, di tambah lagi dengan semua anak yang masih bersekolah.

“Justeru, saya amat gembira dengan bantuan rumah SMJ ini yang memberikan satu harapan baru buat kami sekeluarga, seterusnya menjadikan Aidilfitri kali ini lebih bermakna.

“Terima kasih kepada kerajaan dan penghargaan juga kepada Datuk Ruslan Muharam hingga saya menerima bantuan ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kunci Rumah SMJ, di sini.(6 April)

Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (Sabah), Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun.

Aha’at adalah salah seorang daripada 16 penerima rumah SMJ kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Lumadan yang disampaikan Adunnya, Datuk Ruslan Muharam.

Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata, sebanyak 20 buah rumah SMJ disediakan kerajaan negeri untuk setiap 73 Dun di seluruh Sabah.

Katanya, untuk Dun Lumadan, sebanyak 20 buah sudah disiapkan dan telah diserahkan kepada penerima termasuk mereka yang terlibat dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah SMJ itu.

“Sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi pembinaan 20 buah rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Dun Lumadan tahun lalu yang dilaksanakan secara berfasa.

“Untuk tahun ini, sebanyak 40 buah rumah SMJ lagi akan dibina iaitu masing-masing 20 buah di Dun Lumadan dan Klias yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini,” katanya.

Ruslan berkata, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) juga tidak ketinggalan dalam usaha kerajaan negeri ini dengan memperuntukkan bantuan pembinaan rumah sebanyak 10 unit untuk golongan miskin di Dun Lumadan tahun ini.

“Inisiatif ini jelas menunjukkan kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat selari dengan agenda SMJ,” katanya.

Terdahulu, Ruslan turut menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada 25 pengerusi di majlis itu.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here