Tuaran: Daerah ini mempunyai potensi untuk terus mengembangkan industri berasaskan madu kelulut, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Sehubungan itu, Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian menggesa usahawan, khususnya pekebun kecil getah di sini untuk menggabung usaha mereka bagi mencapai tujuan itu.
“Untuk memantapkan industri seperti ini, ia memerlukan kerjasama semua pihak kerana kita sedar bahawa tidak semua orang boleh mendirikan kilang,” katanya apabila menutup Kursus Industri Madu Tantadan (Kelulut( Asas di Dewan Serbaguna Tamparuli, dekat sini, Jumaat.
“Saya ingin melihat sebuah kilang memproses madu kelulut didirikan di Tuaran tetapi usahawan tempatan harus cuba mengumpulkan modal untuk membinanya tanpa terlalu bergantung pada bantuan kerajaan.”
Kursus tiga hari itu dianjurkan oleh Sedcovest Holding dengan kerjasama Biro Usahawan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tuaran.
Hampir 100 orang mengambil bahagian dalam kursus itu yang menumpu pada penternakan lebah kelulut, pemprosesan produk berasaskan madu, penjenamaan dan pemasaran.
Tangau berkata, kursus itu adalah salah satu cara untuk kerajaan menggalakkan rakyat mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.
“Sekarang ini, kebanyakan harga komoditi menurun secara global… sebab itulah pekebun kecil tidak boleh menyara hidup mereka dengan bergantung pada sumber pendapatan tunggal.
“Dan penternakan Tantadan adalah salah satu pilihan terbaik untuk sumber pendapatan alternatif.
“Malah sesetengah usahawan menjadi jutawan hasil kejayaan mereka dalam industri berasaskan madu kelulut,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara terpenting apabila menceburi mana-mana bidang adalah mendapatkan seberapa banyak pengetahuan yang mungkin.
“Kamu terlebih dahulu perlu belajar mengenai industri itu, kemudian amalkan pengetahuan itu.
“Terdapat banyak agensi, khususnya di bawah kementerian, yang mengadakan pelbagai program untuk menggalakkan buday pengindustrian dalam kalangan masyarakat.”
George Clinton, salah seorang penceramah dalam kursus itu berkata, ia tidak mustahil untuk negara ini menjadi pengeluar madu kelulut utama kerana iklimnya sesuatu untuk pengeluaran madu berkualiti tinggi.
“Permintaan untuk madu kelulut di Sabah boleh mencapai lima tan sebulan.
“Bagaimanapun, ketika ini, kita belum ada pusat pengumpulan madu yang khusus…kita hanya ada Koperasi Pembangunan Desa (KPD) sebagai pembeli tunggal yang membeli madu secara pukal,” kata usahawan itu yang mempunyai pengalaman 25 tahun dalam industri berasaskan madu.
Terdahulu, Tangau, apabila merasmikan majlis anugerah cemerlang Sekolah Menengah Adventist Tamparuli, menggesa sekolah-sekolah untuk bekerja keras melahirkan lebih ramai profesional, khususnya ahli ekonomi.
Menyebut Korea Selatan, beliau berkata negara itu membangun dengan pesat kerana kekuatan ekonominya.
“Dalam tempoh singkat, Korea Selatan berjaya bangkit sebagai salah satu ekonomi terkuat dunia dan ia adalah hasil kerja keras dan pendidikan cemerlang.
“Dengan bekalan ahli ekonomi yang ramai di Sabah, saya berharap negeri ini juga akan menjadi sebuah pahlawan ekonomi,” katanya.