Sun, 12 May 2024

HEADLINES :


‘Pastikan Ketua Hakim Syariah baharu hadir secara fizikal’
Published on: Saturday, August 17, 2019
Text Size:

‘Pastikan Ketua Hakim Syariah  baharu hadir secara fizikal’
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah sekali lagi digesa melakukan sesuatu untuk memastikan Ketua Hakim Syariah Sabah yang baharu, Ahmad Lakim, hadir secara fizikal di negeri ini untuk melaksanakan tugasnya dengan segera.

Seorang peguam Syariah, Hamid Ismail, yang mengulang gesaan itu berkata penjelasan baru-baru ini yang diberikan oleh Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar cukup jauh daripada menjawab isu sebenar dan juga sukar dibayangkan.

Katanya, beliau bingung dengan jawapan menteri kepada pertanyaannya kenapa Ketua Hakim Syariah baharu tidak dapat berada di Sabah untuk melakukan tugasnya.

“Menteri (Aidi) menjelaskan bahawa kerajaan negeri kini menghadapi ‘sedikit kekangan’ kerana Ahmad Lakim merupakan pegawai persekutuan di mana pelantikan dan kenaikan pangkatnya terletak di bawah bidang kuasa perkhidmatan persekutuan.

“Penjelasan ini tidak munasabah. Apa kaitan status pegawai persekutuan dengan pelaksanaan tugas kehakiman Ahmad Lakim sebagai Ketua Hakim Syariah Sabah? Saya bukannya bertanya mengenai kelayakan Ahmad Lakim sebagai Ketua Hakim Syariah, saya juga tidak mempersoalkan prosedur pelantikan atau kenaikan pangkatnya. Itu bukan isunya.

“Hakikatnya Ahmad Lakim dilantik sebagai Ketua Hakim Syariah pada 17 Mei tahun ini dan pelantikannya disiarkan dalam Warta Kerajaan pada 27 Jun tahun ini. Dengan pelantikannya yang sah dan berkuat kuasa, isu sebenar adalah kenapa, sehingga hari ini, Ahmad Lakim tidak dipindahkan ke Sabah untuk melakukan tugasnya?,” kata beliau dalam kenyataannya pada Khamis lepas.

Hamid mengulas kenyataan Aidi yang dilaporkan dalam akhbar pada Khamis mengenai isu berkaitan pelantikan Ahmad Lakim sebagai Ketua Hakim Syariah.

Dilaporkan bahawa Kerajaan Sabah telah mengambil tindakan untuk mengisi jawatan Ketua Hakim Syariah Sabah dengan melantik Ahmad Lakim yang diwartakan pada 27 Jun tahun ini.

Bagaimanapun, Aidi dilaporkan sebagai berkata ia kini menghadapi “sedikit kekangan” kerana Ahmad Lakim merupakan pegawai persekutuan di mana pelantikan dan kenaikan pangkatnya terletak di bawah bidang kuasa perkhidmatan persekutuan.

“Kenapa isu pegawai persekutuan dan bidang kuasa persekutuan harus menjadi alasan dalam pelaksanaan tugas baharu Ahmad Lakim? Mahkamah syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Senarai II Senarai Kerajaan Negeri dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa perlembagaan, organisasi dan prosedur mahkamah Syariah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Dengan itu, hal-hal persekutuan itu bukan halangan bagi kerajaan negeri membawa Ahmad Lakim ke Sabah untuk melaksanakan tugasnya,” kata Hamid.

Hamid berkata beliau juga bingung dengan kenyataan menteri (Aidi) bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menghantar cadangan untuk Ahmad mengambil alih jawatan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Am Malaysia (JPA) untuk tindakan lanjut dan menteri mencadangkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Pengarah/Ketua Hakim Syariah, JKSM untuk bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk memaklumkan dan menjelaskan perkara itu.

“Adakah cadangan ini akan membolehkan Ahmad Lakim berada di Sabah untuk melakukan tugasnya dengan segera atau selewatnya minggu ini? Atau adakah mereka akan menangguhkannya lagi?

“Menteri (Aidi) menekankan bahawa pada peringkat Kerajaan Sabah, perkara itu sudah selesai dan bukan satu isu. Kenyataan ini benar-benar memalukan institusi Islam di Sabah.

“Mahkamah-mahkamah Syariah di Sabah tidak mempunyai ketua hakim. Ketua Hakim Syariah baharu tidak ada di sini untuk melakukan tugasnya. Pelantikan hakim mahkamah rayuan syariah dan kemasukan peguam syariah baharu tidak dapat dilakukan tanpa ketua hakim syariah. Tidak bolehkah menteri nampak itu?,” kata Hamid.

Selepas pelantikan, beliau berkata Ahmad Lakim telah pun menjadi Ketua Hakim Syariah di Sabah dan dengan itu, sepatutnya memimpin mahkamah-mahkamah Syariah di sini.

Tetapi dengan memberi alasan “sedikit kekangan” itu, beliau berkata pelantikan tersebut seolah-olah tidak berguna dan pangkah “Ketua Hakim Syariah” tidak bermakna.

“Sebagai seorang peguam Syariah dan dari segi undang-undang, saya tahu Sabah mempunyai seorang Ketua Hakim Syariah yang baharu.

“Sama ada beliau akan bersara tidak lama lagi atau tidak, beliau mesti berada di Sabah dan dibenar melakukan tugasnya sekarang ini,” kata Hamid.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here