Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Tugu hargai pemuzik, penari jambatan Tamparuli
Published on: Monday, December 16, 2019
Text Size:

Tugu hargai pemuzik,  penari jambatan Tamparuli
KEHADIRAN pemuzik dan penari Persatuan Seni Budaya Tuaran (Pesta), yang mengadakan persembahan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun di kaki jambatan gantung Tamparuli sejak 1 September lepas, mendapat pengiktirafan Pejabat Daerah Tamparuli menerusi pembinaan tugu sebagai menghargai sumbangan kesukarelawanan mereka.

Tugu yang didirikan bersebelahan tugu sejarah kewujudan jambatan itu, turut dihiasi replika tengkolok atau sigar dalam bahasa Dusun pada bahagian atas, mengandungi senarai nama jawatankuasa Pesta pimpinan Tokoh Seni Budaya Sabah, Kuhim Ebin Ugat.

Pengurus Petugas Jambatan Tamparuli, Rio Ryem Sorioh, 46, berkata perbelanjaan membina tugu itu ditanggung sepenuhnya Pesta, dengan persetujuan Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Joseph Bangguan.

“Kebenaran untuk pemuzik dan penari Pesta mengadakan persembahan secara sukarela serta percuma di kaki jambatan gantung Tamparuli adalah pendekatan penjenamaan semula kemudahan itu sebagai ikon pelancongan di Sabah.

“Justeru, Pesta menghargai kerjasama Pejabat Daerah Tamparuli, Lembaga Pelancongan Sabah dan Persatuan Pelancongan Kiulu ke arah menzahirkan hasrat persatuan membantu menghidupkan bidang pelancongan di Tamparuli dan Kiulu,” katanya kepada Bernama, di sini.

Jambatan gantung Tamparuli dibina awal 1999 berukuran lebih 100 meter panjang, sekali gus direkodkan jambatan gantung terpanjang di Sabah. Bersebelahan kemudahan itu ialah jambatan lama Tamparuli untuk laluan kenderaan dari arah Kota Kinabalu-Tamparuli, dibina oleh tentera British sekitar 1960.

Beliau berkata, Pesta begitu bersungguh-sungguh memperkenal serta mempertahankan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun, yang semakin pupus serta kurang diminati generasi muda.

“Menerusi usaha Pesta mengadakan persembahan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun di kaki jambatan gantung Tamparuli sejak tiga bulan lepas, semakin ramai golongan belia mula tertarik mempelajari warisan budaya etnik itu terutama yang ada di Tamparuli,” katanya.

Rio Ryem berkata, kehadiran pemuzik dan penari Pesta di jambatan itu bertujuan menceria serta menghiburkan pelawat kemudahan itu dengan persembahan tradisional.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha Pesta itu bukan hanya menarik perhatian pelawat, malahan menjadi landasan kepada generasi muda mengenali dan mempelajari budaya warisan. – Bernama





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here