HEADLINES :


ADVERTISEMENT



Negara belum sedia tamatkan PKP: Pakar
Published on: Saturday, May 02, 2020
Text Size:


Gambar: Sumber Bernama.
Kota Kinabalu: Malaysia belum bersedia untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan banyak isu yang perlu ditangani, kata pakar pediatrik kanan Datuk Dr Amar-Singh.

Amar berkata, semasa webinar yang dianjurkan oleh Pusat Sains Media (SMC) Malaysia dengan kerjasama Malaysian Health Coalition (MHC), empat kelemahan daripada enam kriteria yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk menamatkan PKP.

“Ia adalah menguji dan membuat saringan, kapasiti sistem rawatan kesihatan, mengesan kontak, dan yang paling penting cara berfikir masyarakat untuk hiup dalam suasana baharu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

“Saya tidak percaya bahawa masayrakat telah memahami dan mengambil semua langkah pencegahan yang perlu, seperti penjarakan fizikal, untuk menghentikan penyebaran Covid-19.

Beliau menambah, untuk menghentikan penyebaran penyakit ini, menurut WHO, hampir semua lapisan masyarakat harus mengamalkan langkah-langkah tersebut dan bertanggungjawab.

“Saya tidak fikir bahawa orang ramai telah memahami sepenuhnya perkara ini,” katanya.

Amar yang juga anggota MHC menambah bahawa 33 kes baru Covid-19 di kalangan pesakit penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut yang teruk (Sari) dalam dua minggu terakhir menunjukkan bahawa virus itu masih merebak dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang belum kita fahami adalah walaupun penyebarannya terkawal, masih ada yang dijangkiti, bermaksud bahawa virus itu masih merebak dari satu orang ke orang lain dalam masyarakat kita.

“Apa yang akan terjadi jika kita tidak berhati-hati adalah, virus itu akan terus merebak dan akan ada gelombang kedua dan ketiga yang lebih besar lagi.

Amar juga merupakan bekas Ketua Jabatan Pediatrik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan baru-baru ini menulis bersama garis panduan prosedur operasi standard (SOP) untuk sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak untuk tempoh selepas PKP.

Garis panduan ini yang dihasilkan oleh Pusat Intervensi Awal Kanak-kanak Nasional menekankan perlunya melatih guru dan ibu bapa mengenai langkah-langkah pencegahan yang merangkumi penjarakan fizikal pelajar di dalam kelas dan di sekolah.

“Saya tidak dapat bayangkan 40 pelajar duduk dalam kelas dengan seoang guru. Ianya sangat berbahaya.

“Mungkin penyakit ini tidak membawa maut kepada anak-anak dan mereka juga tidak jatuh sakit, tetapi mereka dapat membawa jangkitan kepada ibu bapa dan datuk nenek mereka,” katanya.

Webinar yang dikendalikan oleh pengasas bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin, diadakan pada 25 April untuk membincangkan strategi untuk ‘normal baru’ setelah PKP ditamatkan.

Ahli panel yang terdiri daripada pakar kesihatan, kesihatan mental dan komunikasi sains menganalisis isu-isu utama berkaitan dengan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Mereka membincangkan banyak isu dari kesan PKP dalam jangka masa panjang terhadap kesihatan mental kepada kehidupan selepas PKP dan strategi penamatan PKP, serta persiapan dan pentingnya komunikasi sains yang berkesan semasa krisis Covid-19.

Sementara itu, seorang ahli panel lain, pakar psikologi klinikal perunding di University of Cyberjaya, Prof Madya Dr Zubaidah Jamil Osman menggesa orang ramai untuk bersiap sedia secara mental dan menerima normal baru yang merangkumi amalan penjarakan sosial dan tinggal di rumah.

“Penjarakan sosial adalah kebiasaan baharu selepas PKP. 

“Sentiasa menghubungi orang tersayang, rakan melalui media sosial dan teknologi.

“Orang akan sentiasa memberi maklum balas dan mengikutinya apabila mereka melihat menfaat daripada tindakan mereka.

“Oleh itu, kita harus melihat langkah pencegahan sebagai tanggungjawab sosial untuk melindungi diri kita dan orang lain.

“Mungkin sukar pada awalnya kerana ini bukanlah sesuatu yang biasa kita lakukan, tetapi kita harus membiasakan diri kita sendiri dan mengajar diri kita untuk membiasakannya,” katanya sambil menjelaskan bahawa perasaan cemas juga merupakan sebahagian dari norma baru.

“Sedikit kebimbangan bukan perkara buruk kerana ia akan memotivasikan orang untuk mencuci tangan, memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Pakar komunikasi sains Dr Mahaletchumy Arujanan menegaskan bahawa strategi untuk keluar dari PKP mesti disampaikan dengan jelas untuk memastikan bahawa orang memahami akibatnya jika norma-norma tingkah laku baru tidak dipatuhi.

“Kesedaran dan pemahaman terhadap isu saintifik dalam masyarakat kita rendah.

“Masih ramai orang tidak memahami risiko jangkitan kerana kita dapat melihat bahawa masih banyak orang meninggalkan rumah mereka dan melanggar peraturan PKP.

“Tanpa strategi penamatan dengan betul, banyak orang akan ingat bahawa virus itu sudah tidak ada apabila PKP dihentikan.

“Saya bimbang apbila penamatan PKP diumumkan, persepsi masyarakat bahawa pandemik ini sudah berakhir dan virus sudah tidak ada. Ini tidak benar.

“Virus tidak akan hilang begitu saja dan tidak ada jaminan ia tidak akan kembali. Jadi, strategi komunikasi sains yang berkesan sangat penting.

“Saya harap Kementerian Kesihatan merancang strategi komunikasi yang jelas sebelum mengumumkan penamatan PKP,” katanya.

Dia juga menekankan bahawa pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan jangka panjang diperlukan untuk penyelidikan vaksin kerana mungkin memerlukan waktu yang lama.

SMC Malaysia adalah platform maya untuk menyalurkan maklumat berdasarkan bukti saintifik dan fakta untuk menyokong liputan media mengenai isu saintifik yang kompleks.

Ia adalah sebahagian daripada rangkaian SMC antarabangsa yang ditubuhkan di banyak negara seperti United Kingdom, New Zealand, Australia, Jerman dan Kanada.

MHC adalah gabungan bukan politik yang terdiri daripada lebih 40 organisasi dan golongan profesional kesihatan.

Ia ditubuhkan untuk menyatukan profesional penjagaan kesihatan, memperkukuh sistem kesihatan Malaysia dan meningkatkan kesihatan semua rakyat Malaysia, terutamanya semasa krisis Covid-19.



ADVERTISEMENT







Berita Popular


Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            

Daily Express TV