SANDAKAN: Seramai tujuh pensyarah Kolej Politeknik Tawi-Tawi, Filipina bersama lapan anak kapal MV Dayang Jubaira diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan selepas mereka terlibat dengan kejadian bot karam pada 8 Januari.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Zon Sandakan Komander Ahmad Firdaus Shaari berkata kesemua mangsa diselamatkan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Esscom berkenaan kejadian itu.
"Sejurus laporan itu, kita terus menggerakkan aset ke perairan Kinabatangan dimana bot mangsa itu dilaporkan karam," jelasnya kepada media di jeti APMM Sandakan pada Isnin.
"Kami mendapat laporan kejadian pada jam 10.30 pagi dimana ketika itu cuaca dalam keadaan hujan dan angin kuat.
Ombak pula dimaklumkan setinggi dua hingga tiga meter," tambahnya.