Kota Kinabalu: Kalaga FC yang baru dibentuk memulakan pencarian pemain pasukan pertama dalam persediaan mereka untuk layak ke Sukan Sabah dan saingan liga Safa pada 2023.Presiden kelab, Datuk Masiung Banah berkata mereka setakat ini telah menubuhkan kelab itu di Kota Kinabalu, Kuamut, Ranau dan menjangkakan lebih banyak daerah akan menyusul.
Satu kejohanan antara zon kemudian akan diadakan di antara kelab-kelab itu pada April sebagai platform untuk memilih pemain bagi membentuk pasukan pertama mereka.
“Kejohanan itu adalah untuk mencari pemain yang berpotensi untuk menyarung jersi kami. Seorang jurulatih tempatan akan dilantik sebaik pasukan dibentuk dan sasaran utama kami adalah untuk layak ke Saga dan liga Safa pada 2023,” katanya pada Ahad.
Sementara itu, simbolik pelancaran Kalaga FC untuk Kuamut telah diadakan awal bulan lalu di Dewan Majlis Daerah Tongod.