Kota Kinabalu: Kelab Bolasepak Kinabalu Jaguar (KJFC) tidak bernasib baik apabila tewas 0-1 kepada Ultimate FC dalam perlawanan pembukaan Liga M3 mereka di stadium UPM di Serdang, Selangor, petang Sabtu lalu.
Mereka menguasai sepenuhnya permainan walaupun kehilangan beberapa pemain pasukan pertama akibat kecederaan dan sakit dan berpeluang mendahului sekurang-kurangnya dua gol sebelum waktu rehat dengan Shafie Talip dan Ariusdius Jais menyaksikan percubaan dihalang oleh penjaga gol lawan.
Ariusdius turut menyaksikan percubaannya dari jarak jauh terkena palang ketika penjaga gol sudah tertewas pada penghujung separuh masa pertama.
KJFC meneruskan dominasi mereka bersambung babak kedua tetapi tragedi melanda pada minit ke-62 apabila penjaga gol mereka Sakri masri ditewaskan oleh rembatan menarik Azlan Nasri dari kawasan sendiri.
Sakri, yang beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan sebelum itu, tertewas apabila dia keluar dari kotak sendiri dan Azlan yang menyedari perkara itu mengambil kesempatan dengan menjaringkan gol kemenangan dari jarak 60 meter.
Walaupun ketinggalan, KJFC berusaha keras untuk mencari gol penyamaan tetapi gagal menewaskan penjaga gol lawan sehingga ke wisel penamat.
Ketua jurulatih David Aiyyman Johnny mengakui tuah tidak menyebelahi pasukan mereka tetapi gembira dengan prestasi keseluruhan pemain.
“Sudah tentu ada sedikit kekecewaan dengan keputusan itu kerana kami mendominasi permainan tetapi gagal menjaringkan gol dengan banyak peluang yang dicipta.
“Bagaimanapun, satu aspek positif daripada perlawanan itu ialah pemain-pemain beraksi dengan baik sepanjang 90 minit dan tidak ada sesiapa yang cedera,” katanya pada Ahad.
Sementara itu, perlawanan KJFC yang seterusnya ialah menentang Kelab Bolasepak Imigresen di Stadium USIM di Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu (19 Februari).