Wed, 10 Jun 2026
Headlines:
Bekas pengerusi Mara Inc didakwa
Published on: Wednesday, March 16, 2022
Published on: Wed, Mar 16, 2022
By: Cynthia D Baga
Text Size:
Text:
Bekas pengerusi Mara Inc didakwa
Abel (atas kiri), Marsam (atas kanan) dan Mohamad Lan (kanan) bersama peguamnya, Luke.
Kota Kinabalu: Bekas pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd, Datuk Mohammad Lan Allani didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM10 juta.

Mohammad Lan, yang juga bekas Adun Sulabayan, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat, kepada kedua-dua pertuduhan terhadapnya pada Selasa.

Advertisement
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohammad Lan dituduh memindahkan RM3 juta dan RM7 juta, masing-masing daripada akaun Portfolio Perbankan Persendirian CIMB Bank miliknya ke dalam akaun semasa serta akaun simpanan tetap CIMB Bank miliknya.

Pertuduhan menyatakan wang itu dipercayai hasil daripada aktiviti haram.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank Jalan Sagunting, Bangunan Central, di sini pada 10 Dis 2012.

Kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 memperuntukkan denda sehingga RM5 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Advertisement
Mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan dan menawarkan Mohammad Lan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Tiada syarat tambahan dikenakan ke atas Mohammad Lan kerana pasportnya sudah pun disimpan mahkamah ketika didakwa melakukan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, tahun lalu.

Advertisement
Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mohammad Lan telah didakwa di Kuala Lumpur dan mereka tidak meminta sebarang syarat dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, sebaliknya mencadangkan jaminan RM100,000.

Peguam Luke Ressa Balang yang mewakili Mohammad Lan berkata dia tidak mempunyai bantahan terhadap jumlah ikat jamin yang dicadangkan dan meminta seorang penjamin tempatan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai, serta dibantu oleh DPP Haresh Prakash Somiah dan DPP Mohd Shahrom Idris.

Mohammad Lan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 20 pertuduhan rasuah berjumlah RM20.45 juta membabitkan urusan hartanah di Melbourne, Australia.

Dia meminta dibicarakan untuk semua pertuduhan.

Sementara itu, seorang penolong ketua setiausaha sebuah agensi kerajaan meminta dibicarakan terhadap 29 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.29 juta untuk kerja perkhidmatan daripada dua syarikat.

Abel Ongkunik, 49, yang merupakan bekas pengarah Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat.

Bagi pertuduhan pertama hingga 29, Abel didakwa menerima wang itu semasa menjadi pengarah JPDS, daripada kedua-dua syarikat tersebut sebagai dorongan untuk memberi kebenaran kepada sebuah syarikat untuk perkhidmatan menunda di kawasan had pelabuhan Kimanis pada 2018 dan untuk meluluskan lesen bagi kerja-kerja menunda untuk satu lagi syarikat antara 28 Ogos 2017 dan 2 Julai 2018.

Pertuduhan menyatakan bahawa wang itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank tiga syarikat di mana Abel boleh mengaksesnya di beberapa cawangan bank di kawasan Bandaraya, Lido dan Kota Belud.

Kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan dan Abel dilepaskan dengan ikat jamin RM100,000 berdeposit RM30,000 dan seorang penjamin tempatan.

Abel juga diperintah melapor diri dua kali sebulan di pejabat SPRM dan pasportnya, jika ada, disimpan oleh mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F. M Sambatan hadir untuk pendakwaan manakala peguam P.J Perira, Ariel Dasan dan Dominic Chew, mewakili Abel.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here