RANAU: Seramai 17 jelitawan di daerah ini akan bertanding untuk merebut gelaran Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah di Dewan Masyarakat Ranau, Sabtu ini (14 Mei).
Majlis yang dijadual bermula pada jam 8 pagi, dijangka dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Pengerusi jawatankuasa pertandingan Unduk Ngadau Ranau, Florencia Padasian, berkata semua peserta akan menyertai pelbagai program termasuk aktiviti amal dan lawatan ke pusat kebajikan sekitar Ranau sebelum 14 Mei ini.
Katanya, antara program lain yang akan diadakan ialah aktiviti Motivasi, Kelas Bahasa Kadazandusun, Taklimat Pemadam dan Sodop Pointutunan di Lohan Resthouse.
Menurutnya, peserta yang dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Ranau pada 14 Mei ini akan mewakili daerah Ranau ke pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri Sabah di Hongkod Koisaan Penampang pada 31 Mei nanti.