Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Miliki bahagian spesies haiwan dilindungi: "Warga emas didenda RM206,000, penjara setahun"
Published on: Saturday, May 21, 2022
By: Cynthia D Baga
Text Size:

Miliki bahagian spesies haiwan dilindungi:
Tembadau iaitu spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah.
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 67 tahun yang disabit kesalahan atas tiga pertuduhan memiliki secara haram bahagian Tembadau iaitu spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah, didenda sejumlah RM206,000 dan dipenjara setahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Chung En Kin (gambar kecil), yang kesnya dikemukakan untuk hukuman pada Jumaat.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, mahkamah berkata kesalahan yang dilakukan Chung adalah kesalahan serius kerana Tembadau adalah haiwan yang dilindungi dan hukuman yang dikenakan ke atasnya seharusnya memberi pengajaran kepadanya.

Mahkamah juga berkata, memandangkan ia membabitkan kepentingan awam, bon berkelakuan baik (BOGB) yang dimohon oleh pihak pembelaan adalah tidak sesuai.

Bagi pertuduhan pertama, Chung didenda RM150,000 atau penjara setahun, dan dipenjara satu tahun kerana memiliki 36.1kg daging Banteng (Bos javanicus) Tembadau, haiwan dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan di bawah Bahagian I Jadual 1, pindaan 2002 No. 10 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, tanpa kebenaran, kecuali dibenarkan secara bertulis oleh Menteri yang bertindak atas nasihat Pengarah.

Kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4)(a) Enakmen sama, yang membawa hukuman denda antara RM50,000 dan RM250,000, atau penjara antara sebulan dan lima tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Chung diperintah membayar denda RM19,000 atau penjara tiga bulan kerana memiliki lima bangkai keluang (Petropus vampyrus), haiwan yang dilindungi di bawah Bahagian 1 (No. 1) Jadual 3 Enakmen yang sama, tanpa permit pemilikan yang sah.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 41(2) Enakmen sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4) (c) Enakmen sama, yang membawa denda RM30,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Chung didenda RM37,000 kerana memiliki 4.8kg daging rusa Sambar (Cervus unicolor), empat kakinya seberat 3.4kg dan satu tanduk, di mana haiwan itu disenaraikan di bawah Bahagian 1 (no.9) Jadual 3 Enakmen yang sama, juga tanpa permit pemilikan yang sah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(2) Enakmen sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4)(c) Enakmen sama itu, membawa hukuman denda antara RM30,000 dan RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Chung melakukan kesalahan itu pada pukul 2.50 petang 18 April 2019 di sebuah bangunan atau premis Kedai Emas Heng Cheong, di tingkat satu Blok B, Kompleks Centenary di Kota Belud.

Semasa rayuan, peguam Sylyester Kuan yang mewakili Chung, memohon BOGB dengan mengatakan anak guamnya sudah berumur 67 tahun dan menghidap hipertensi yang memerlukan penjagaan dan pengawasan oleh keluarganya.

Kuan memaklumkan mahkamah bahawa ia kesalahan pertama Chung yang merupakan pencari nafkah keluarganya dengan isteri dan dua anak.

Dia seterusnya berkata mahkamah perlu mempertimbangkan bahawa apabila barang-barang itu dirampas, ia adalah dalam bentuk daging, menambah bahawa semasa perbicaraan seorang saksi pendakwaan dari Jabatan Hidupan Liar juga tidak dapat mengenal pasti daging itu adalah daging Tembadau, jika tidak dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengecaman spesies.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Abdul Karim Dakog dari Jabatan Hidupan Liar menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan kerana kes itu membabitkan kepentingan awam memandangkan Tembadau adalah spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah.

“Ia adalah satu kesalahan alam sekitar yang serius dan mendapat perhatian berat di dalam dan luar negara oleh kedua-dua kerajaan dan NGO.

“Spesies Tembadau dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, dan berdasarkan jumlah hukuman yang berat, ia menunjukkan kesalahan ini sangat serius.

“Tujuan hukuman itu untuk memberi pengajaran kepada Chung agar tidak mengulangi kesalahan itu serta mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan yang sama,” kata Abdul Karim.

Menurut Abdul Karim, hidupan liar merupakan salah satu tarikan pelancong asing untuk datang ke Sabah dan sudah tentu ia menjadi sumber ekonomi kepada Negeri Sabah dalam sektor pelancongan yang menyumbang kepada infrastruktur demi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Sabah.

“Spesies Tembadau dilindungi sepenuhnya di Sabah kerana berada di ambang kepupusan berikutan habitat mamalia besar ini semakin berkurangan dan turut terdedah dengan jenayah alam sekitar disebabkan aktiviti pemilikan dagingnya secara haram.

“Menurut Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), Bos Javanicus (Banteng) dikategorikan sebagai terancam, menunjukkan spesies ini semakin terancam dan akan pupus jika tidak dicegah.

“Selain Tembadau, rusa dan keluang juga merupakan tarikan pelancong dan sebahagian rantai makanan dalam ekosistem dalam hutan yang turut dilindungi dalam Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

“Tetapi apabila haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti Tembadau dan haiwan lain menjadi sasaran untuk mendapatkan dagingnya serta bahagian lain, ia akan mempercepatkan kadar kepupusan di luar jangkaan IUCN.

“Kesannya, selain haiwan ini akan lenyap dari bumi Sabah selama-lamanya, ia akan memburukkan imej rakyat dan Sabah di mata dunia kerana ia dilihat tidak serius dalam mencegah kepupusan haiwan terancam dan tidak melindungi alam sekitar Sabah.

Enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan.

Mahkamah membenarkan permohonan Chung untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi. Tetapi, mahkamah memerintahkan Chung membayar tambahan ikat jamin sebanyak RM20,000.

Chung membayar tambahan ikat jamin itu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here