PENAMPANG: Wakil Sandakan Frenerietta Sobitun, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Negeri 2022, di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, Penampang, Selasa.
Guru di SK Sungai Sungai berusia 25 tahun itu membawa pulang hadiah bernilai lebih RM120,000 termasuk wang tunai RM12,000, mahkota dan trofi.
“Kemenangan ini amat bermakna buat saya kerana saya tidak sangka untuk meraih gelaran ini.
“Ini adalah hadiah untuk keluarga saya,” katanya kepada pemberita selepas upacara pemahkotaan.
Frenerietta berkata beliau bercadang untuk melibatkan diri dalam kerja kemasyarakatan dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu belia Sabah semasa memegang gelaran itu.
“(Tujuannya) supaya belia dapat menyemai rasa cinta yang lebih besar kepada budaya dan warisan kita.
“Harapan saya agar golongan belia sentiasa berani dan terus bertutur dalam bahasa Kadazandusun-Murut asli agar tidak hilang ditelan arus pemodenan dan teknologi,” jelasnya.
Antara cabaran yang dia hadapi ialah mengimbangi masa antara persediaan untuk pertandingan itu dan menjalankan tugasnya sebagai seorang guru.
Semasa pusingan pertama peringkat akhir, kesemua 44 peserta dinilai berdasarkan kecantikan, pakaian dan sikap mereka sebelum 15 daripada mereka mara ke pusingan kedua.
Pada pusingan seterusnya, 15 finalis dikehendaki menjawab soalan dalam bahasa ibunda mereka, sebelum tujuh daripada mereka disenarai pendek untuk pusingan terakhir.
Tujuh jelitawan teratas diberi kebebasan untuk menjawab soalan dalam bahasa ibunda atau bahasa Melayu atau Inggeris.
Frenerietta yang memakai pakaian tradisional Dusun Labuk menjawab dengan yakin dalam bahasa ibundanya.
Esther Marius yang mewakili Papar menduduki tempat kedua dan menerima hadiah bernilai RM75,319 manakala Deedee Cassandra Dallius (Ranau) meraih tempat ketiga dengan memungut hadiah bernilai RM62,779.