Kota Kinabalu: Seorang penganggur berusia 32 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, atas tiga pertuduhan menipu.
Choo Yu Ping, yang tampil di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie dan Lovely Natasha Charles, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Bagi pertuduhan pertama, Choo didakwa menipu syarikat Auto Industries Batteries (E.M) Sdn Bhd dengan memperdaya syarikat itu dan mendorongnya memberikan enam unit bateri kenderaan N150 Fujiya bernilai RM2,610 dengan menyediakan resit transaksi dalam talian yang tidak wujud.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat berkenaan di Inanam di sini pada 4.42 petang pada 21 Mei, 2021.
Choo atas pertuduhan kedua, didakwa menipu syarikat sama iaitu enam unit bateri Fujiya N150 (25P) dan dua unit MF Korea 105D31L bernilai RM3,310 dengan kaedah sama di tempat sama pukul 9.21 pagi pada 28 Mei, 2021.
Atas pertuduhan ketiga, Choo didakwa menipu syarikat sama bagi dua unit bateri kenderaan Yuasa 95D31R 17P dianggarkan bernilai RM660 dengan modus operandi sama di tempat sama pukul 1.46 petang pada 22 Mei tahun sama.
Setiap pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan beserta sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu dan mencadangkan ikat jamin antara RM7,000 dan RM4,000 beserta dua orang penjamin.
Tidak diwakili, Choo memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.
Majistret Stephanie menetapkan 19 Julai ini untuk pengurusan kes pra perbicaraan untuk pertuduhan pertama dan kedua dan membebaskan Choo dengan ikat jamin RM2,000 dan dua penjamin.
Kes ketiga Choo ditetapkan untuk pengurusan kes pada 3 Ogos di hadapan Majistret Lovely, yang membenarkannya diikat jamin RM2,000 tanpa deposit dengan dua penjamin.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit dan Kelvan Elson Maik.