TONGOD: Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan pedalaman menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memastikan daerah ini tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sepanjang tahun lalu hingga pertengahan tahun ini, Tongod merekodkan perkembangan signifikan dalam pelbagai sektor termasuk infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan potensi pelancongan lestari.
Beliau berkata, kerajaan komited memperkasakan jaringan jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah luar seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi meningkatkan mobiliti rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
“Tongod mempunyai kawasan tanah yang luas dan berpotensi untuk pembangunan pertanian moden. Kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai insentif bagi membantu transformasi pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod 2026 di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod, Rabu lepas.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan modal insan, khususnya generasi muda di kawasan pedalaman melalui pelaburan dalam bidang pendidikan serta latihan kemahiran.
Advertisement

“Kita mahu anak-anak muda di Tongod merebut peluang melanjutkan pengajian termasuk dalam bidang kemahiran kerana mereka adalah pemimpin masa depan negeri ini,” katanya.
Menurutnya, Tongod juga memiliki khazanah alam bernilai tinggi termasuk Kawasan Konservasi Kanyon Imbak yang berpotensi besar dibangunkan sebagai hab eko-pelancongan lestari Sabah.
Katanya, kedudukan Tongod di tengah geografi Sabah menjadikan daerah itu sebagai “The Heart of Sabah” atau jantung negeri yang menyatukan wilayah utara, selatan, timur dan barat Sabah.
Beliau berkata, pembangunan sektor pelancongan perlu bergerak seiring usaha memelihara keaslian budaya masyarakat tempatan termasuk memperkasa produk kraf tangan, makanan tradisi serta inap desa.
“Keharmonian antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar adalah kunci kepada kemampanan ekonomi Tongod dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata cadangan pembinaan pekan baharu Tongod akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat swasta di atas tanah milik syarikat berkenaan.
“Sebuah syarikat swasta akan membangunkan pekan baharu Tongod termasuk pembinaan pejabat kerajaan. Kita mengalu-alukan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan.
“Dengan sokongan wakil rakyat di sini, usaha ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan 239 geran tanah NT melibatkan keluasan 583.38 hektar kepada rakyat Tongod.
Daripada jumlah itu, sebanyak 199 geran melibatkan keluasan 500.09 hektar adalah NT biasa, manakala geran deraf Pantas membabitkan tujuh mukim dengan 40 geran berkeluasan 83.29 hektar.
Mengenai sambutan Kaamatan, Hajiji berkata perayaan itu bukan sahaja melambangkan kesyukuran terhadap hasil tuaian, malah menjadi wadah penting memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sabah selaras tema “Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian.”
Sementara itu, Adun Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata pembangunan Tongod terus diperkasa termasuk menerusi perancangan pembangunan pekan baharu Pinangah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata sebuah syarikat swasta turut bersetuju membangunkan kira-kira 1,000 ekar tanah miliknya termasuk cadangan tambahan 200 ekar bagi penempatan kemudahan kerajaan dan pembangunan pentadbiran setempat.
Katanya, usaha itu bertujuan menghimpunkan jabatan kerajaan di satu lokasi bagi mempercepat urusan pentadbiran dan merancakkan pembangunan daerah.
Beliau turut memaklumkan projek Borneo Cement kini menerima kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas melalui proses dokumentasi lebih dua tahun.
Jika semua proses berjalan lancar, kerja lapangan pembinaan kilang simen itu dijangka bermula seawal September ini.