Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Terrence Siambun mencabar Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili untuk membuktikan dengan fakta berhubung dakwaannya bahawa Warisan adalah parti mesra pendatang tanpa izin (PTI).
Beliau berkata parti itu akan meneruskan untuk menyaman Maximus kerana memfitnah jika dia gagal berbuat demikian.
“Perlu diingat ini adalah kali kedua Maximus membuat tuduhan palsu terhadap Warisan.
“Beberapa hari lalu, beliau mengaitkan parti ini dengan peningkatan mendadak pemilih berdaftar dalam daftar pemilih, walaupun beliau mengaku sendiri semasa Mesyuarat Agung Tahunan PBS Jun lalu bahawa komponen parti Barisan Nasional telah mengeluarkan kad pengenalan kepada PTI di Sabah untuk membolehkan mereka membuang undi dalam pilihan raya.”
Beliau berkata dalam satu kenyataan, Selasa, sambil menambah bahawa dakwaan Maximums terhadap Warisan telah tersebar di kalangan netizen dan komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM), yang mencetuskan kekeliruan di kalangan rakyat Sabah.
Terrence menjawab soalan Maximum, yang dalam ucapannya semasa jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Tenom Sabtu lalu bahawa PBS tidak bersedia untuk bekerjasama dengan Warisan atas alasan Warisan didakwa mesra PTI.
“Saya yakin Maximus tahu proses undang-undang di negara ini di mana penuduh tidak boleh membuat tuduhan tanpa bukti kukuh kerana jika berbuat demikian, maka
perbuatan itu dikategorikan sebagai fitnah.
‘Sebagai Naib Presiden Warisan yang mewakili warga KDM, saya mencabar Ongkili untuk memberikan bukti kukuh berhubung tuduhannya dan jika dia gagal berbuat demikian, kita akan mulakan prosiding terhadapnya,” katanya.
Tambahnya, prosiding itu perlu dijalankan bagi memastikan nama parti kekal tidak tercemar dan menjamin integriti pemimpin, ahli dan penyokong Warisan di peringkat akar umbi.
Ahad lepas, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan meneroka jalan undang-undang untuk menghalang Maximus daripada menggunakan isu pendatang tanpa izin untuk kepentingan politik.
Shafie berkata PBS sering menggunakan isu PTI terhadap Warisan dalam setiap pilihan raya.
Dalam maklum balasnya, Maximus pada Selasa menggesa Warisan membuktikan bahawa ia tidak menyokong PTI kerana penafian sahaja tidak memadai.