KOTA MARUDU: Kepimpinan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili masih sangat diperlukan, khususnya dalam membangkitkan keperluan-keperluan Sabah di peringkat Persekutuan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata Dr Maximus yang merupakan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk Kota Marudu amat konsisten dan lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.
“Saya memerlukan Dr Maximus untuk membantu menyuarakan tuntutan Sabah kepada Kerajaan Persekutuan. Suaranya yang kuat dan kegigihannya masih sangat diperlukan, khususnya dalam menuntut hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Bercakap di kediaman timbalan setiausaha agung Bersatu Sabah Datuk Maijol Mahap di Kampung Kokobuan di sini pada Ahad, Hajiji turut menyifatkan keputusan PBS menggunakan simbol GRS kali ini sebagai satu pengorbanan besar.
“Ini amat bermakna bagi saya. Sebab itu saya mahu rakyat di Kota Marudu mengundi Dr Maximus,” katanya.
GRS, yang terdiri daripada Bersatu, PBS, Star, SAPP dan Usno, bersama Barisan Nasional (BN) berikrar akan melakukan yang terbaik untuk terus membawa pembangunan ke Sabah, katanya.
“Kita mahukan Kerajaan Negeri yang stabil dan kukuh,” katanya sambil menambah tidak seperti Kerajaan Negeri sebelum ini yang dipimpin oleh Warisan.
“Kerajaan Negeri pimpinan Warisan hanya bertahan dua tahun kerana ia adalah kerajaan yang tidak mendapat mandat daripada rakyat,” katanya.
Beliau turut membidas Presiden Warisan Datuk Shafie Apdal yang menurutnya gagal melakukan apa-apa untuk Kota Marudu sepanjang dua tahun berkhidmat sebagai Ketua Menteri dan sebelum itu semasa beliau menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan.
“Beliau bercakap seperti tahu segala-galanya tetapi apa yang telah dia lakukan untuk Kota Marudu semasa menjadi Ketua Menteri? Tandas awam pun tiada,” katanya.
“Dia tanya saya apa yang saya sudah buat? Saya mahu tanya dia balik, apa yang dia sudah buat di Semporna? Dia tidak mampu menangani rumah yang musnah di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.
“Hanya (apabila) kerajaan GRS-BN (mengambil alih) RM8.5 juta diberikan untuk penyelesaian,” katanya.
“Jangan bercakap bohong. Saya tidak tahu bagaimana untuk bercakap seperti itu. Saya hanya bercakap mengenai fakta,” katanya.
Meneruskan jejak kempennya di Balai Raya Kampung Kirangawan kemudian, Hajiji berkata Dr Maximus adalah calon kerajaan.
Beliau menasihatkan pengundi supaya tidak terlalu emosi apabila mendengar ucapan pembangkang.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri GRS-BN akan terus melaksanakan rancangan pembangunan berpandukan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Kita tidak perlu lagi perbalahan politik. Kita nak bangunkan Sabah. Sudah tiba masanya kita bersatu di bawah satu payung iaitu GRS.,” katanya.
Hajiji turut menerima sebanyak lebih 300 borang permohonan keahlian baharu daripada bekas ahli Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Kota Marudu di Kampung Kokobuan dan Kirangawan.
Turut hadir ialah Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan ketua-ketua bahagian Bersatu Kota Marudu.