Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun berdepan ketidakstabilan ekonomi dan pelbagai cabaran, Kerajaan Negeri terus menggiatkan dan mempelbagaikan usaha meningkatkan dan menjana sumber pendapatan lebih mampan.
Antara usaha itu, katanya, ialah menambah baik pengurusan hasil secara menyeluruh dengan memperkasa setiap aspek penguatkuasaan bagi memulihkan tunggakan hasil dan menangani sebarang ketirisan hasil.
“Sebagai contoh, melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Cukai Jualan Negeri bagi Produk Petroleum dan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Peguam Besar Negeri dan SMJ Sdn Bhd sebagai penasihat telah berjaya mengutip cukai tertunggak berjumlah kepada RM132 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2023 di Dewan Undangan Negeri, di sini, Jumaat.
“Dengan ini, kesemua lima belas (15) syarikat minyak dan gas di Sabah telah membuat pembayaran untuk Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum.
“Justeru, saya ingin mengingatkan semua pembayar cukai jualan negeri supaya jujur, responsif dan memastikan pengisytiharan cukai dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tepat dan teratur.
“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang bagi mereka yang gagal berbuat demikian.”
Katanya, Kerajaan Negeri juga sedang memperluaskan sumber hasil negeri misalnya melalui pelaksanaan Cukai Jualan Negeri baharu ke atas besi buruk yang bermula Februari lalu dengan anggaran RM18 juta setahun dan perluasan skop Negeri Petroleum. Cukai Jualan bagi menampung produk ammonia dan urea yang bermula Ogos lalu juga dijangka menyumbang RM110 juta setahun kepada hasil negeri.
“Usaha lain ialah dengan mempertahan dan menegakkan hak Sabah. Walaupun bayaran interim Pemberian Khas oleh Kerajaan Persekutuan telah meningkat kepada RM129.7 juta pada 2023, Kerajaan Negeri akan terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, ” katanya.
Kerajaan, katanya, turut mempergiatkan lagi penguatkuasaan kutipan dividen syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun melalui pemantauan prestasi pengurusan dan kewangan serta strategi perniagaan dan pelaburan baharu supaya agensi kerajaan terus berdaya maju.
“Hasil adalah teras pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, saya menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu melaksanakan tanggungjawab dan menggembleng tenaga memacu hasil negeri ke arah kutipan yang lebih tinggi dan mampan yang dapat menjamin kestabilan ekonomi dan pembangunan negeri serta kesejahteraan- menjadi rakyat,” katanya.