Tue, 23 Apr 2024

HEADLINES :


Pertemuan GRS, PM untuk zahir sokongan: Hajiji
Published on: Monday, November 28, 2022
By: Bernama
Text Size:

Pertemuan GRS, PM untuk zahir sokongan: Hajiji
Anwar (keempat, kanan) diperkenalkan kepada sebahagian daripada ahli Parlimen Sabah ketika menerima kunjungan hormat Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor (tiga, kanan) di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra pada Ahad.
PUTRAJAYA: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengadakan pertemuan selama kira-kira sejam bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Ahad.

Pengerusnya, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika ditemui media, berkata pertemuan berkenaan bertujuan untuk menyatakan sokongan padu oleh gabungan itu dan kerajaan Sabah  kepada kepimpinan Anwar dan juga kerajaan baharu.

Katanya, Anwar amat menghargai sokongan tersebut.

Ketua Menteri Sabah itu yang turut ditanya sama ada beliau ada mengemukakan senarai nama Ahli Parlimen GRS untuk menyertai barisan Kabinet pada pertemuan itu, berkata perkara itu tidak dibincangkan.

Anwar pada Jumaat lepas berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS.

Hajiji pada hari sama turut dilapor berkata sokongan dan penyertaan parti-parti politik di Sabah dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar diyakini dapat memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat negeri.

GRS terdiri daripada Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Sementara itu, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara yang dibangkitkan pada pertemuan bersama Perdana Menteri yang berlangsung selama kira-kira 45 minit di Bangunan Perdana Putra.

Beliau berkata MA63 perlu dilihat secara lebih serius oleh kerajaan dan berharap segala perkara tertunggak dalam perjanjian itu dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Selain itu, ditanya sama ada bincang soal jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta Menteri Kabinet, beliau berkata tiada perbincangan terperinci dilakukan.

“Kita beri pandangan bagaimana pentingnya perjalanan pentadbiran dapat diuruskan dengan baik kerana harapan rakyat begitu tinggi terhadap pemerintahan yang ada pada hari ini. Kita harap ia akan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Pada 23 Oktober lepas, Anwar dalam Jelajah Pakatan Harapan (PH) Sabah dilapor berkata PH akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya dua jawatan TPM diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dua jawatan TPM membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here