TIMBALAN Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (gambar) berharap banyak isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diselesaikan di bawah pentadbiran baharu persekutuan.
“Kami bertemu Perdana Menteri baharu (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru-baru ini dan kami bertanya sama ada mereka akan meneruskan Jawatankuasa Kabinet mengenai MA63 (yang ditubuhkan kerajaan terdahulu).
Jawapan beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah ‘mengapa perlu ada Jawatankuasa Kabinet, kenapa tidak kita laksanakan sahaja?’
“Saya kata, awak pasti? Beliau berkata ‘ya’. Kami gembira kerana maklum balas itu bermakna kami akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan.
“Kita perlu duduk bagaimana untuk mendapatkan 40 peratus itu. Yang pertama ialah mengesahkan apa yang dimaksudkan dengan hasil bersih. Apabila itu diputuskan, maka kita harus fokus kepada apa yang patut dimasukkan dalam pendapatan yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah,” katanya.
“Kemudian kita perlu mengira jumlah 40 peratus untuk Sabah. Ia tidak terlalu sukar. Saya harap ia akan berlaku, dan ia akan berlaku tidak lama lagi. Kita tidak mengambil sebarang wang daripada sesiapa. Ia adalah wang kita yang mereka kumpul dan mereka hanya memulangkan sebahagian daripadanya. Itu sahaja. Sangat ringkas.”
Dr Jeffrey berkata demikian selepas mewakili Ketua Menteri melancarkan set baharu Pelan Tindakan Strategik (SPA) 2021-2030 Kerajaan Sabah untuk menangani cabaran yang timbul dan memanfaatkan peluang berpotensi untuk meningkatkan pemuliharaan dan pengurusan landskap Heart of Borneo (HoB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) untuk menggiatkan lagi pemuliharaan HoB.