Sat, 13 Jun 2026
Headlines:
Siapkan projek ikut jadual: Hajiji
Published on: Friday, December 23, 2022
Published on: Fri, Dec 23, 2022
Text Size:
Text:
Siapkan projek ikut jadual: Hajiji
HAJIJI (tengah) bersama sebahagian pegawai daerah dan pegawai-pegawai kanan pihak berkuasa tempatan. Turut kelihatan ialah Dr Joachim dan Safar.
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor memberi amaran keras kepada penjawat awam kanan khususnya pegawai daerah supaya tidak melewatkan pelaksanaan projek kerajaan untuk rakyat atau berdepan tindakan.

Menurutnya, mereka mesti melaksanakan projek-projek yang peruntukannya telah diluluskan dan mesti disiapkan mengikut jadual.

Advertisement
Kegagalan berbuat demikian, kata Hajiji, akan menyebabkan Sabah terus ketinggalan kerana ia kini merupakan negeri kedua termiskin di negara ini.

“Saya sedih menerima laporan yang menyatakan kemajuan pembangunan peringkat negeri tidak memberangsangkan di mana Sabah hanya merealisasikan kira-kira 60 paceratus daripada keseluruhan projek pembangunan kerajaan bagi tahun lepas dan tahun ini.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Sebab itu saya secara serius menggesa pelaksana-pelaksana projek dalam kalangan jabatan-jabatan kementerian dan agensi-agensi kerajaan agar melaksanakan projek tepat pada masanya apabila peruntukan dikeluarkan.

“Saya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mendapatkan maklumat daripada kementerian-kementerian yang meminta projek dan pembiayaan dikeluarkan tetapi masih tidak dapat melaksanakannya, akibat daripada pegawai kerajaan yang ‘memandai-memandai’, yang perlu diteliti secara serius,” katanya.

Advertisement
Hajiji berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan rangkaian strategik Agensi Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) dengan pentadbiran daerah di Menara Kinabalu di sini pada Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong, Mayor Datuk Noorliza Awang Alip dan pegawai-pegawai kanan.

Advertisement
Hajiji memberi jaminan bahawa beliau akan bertindak tegas terhadap penjawat awam yang tidak memenuhi aspirasi kerajaan dan tugas yang telah diamanahkan kepada mereka.

“Saya menerima banyak laporan mengenai pegawai daerah yang bijak dan mereka yang ‘memandai-mandai’ dan berlagak seolah-olah dia Raja atau Sultan di daerah masing-masing.

“Mulai sekarang, saya akan bertindak tegas terhadap mereka. Saya sendiri akan memantau petunjuk prestasi utama dan prestasi penyampaian awam mereka.

“Jika laporan itu didapati benar, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka. Jangan fikir Ketua Menteri sekarang baik dan lembut hati,” kata Hajiji.

Apabila projek-projek itu gagal dilaksanakan, katanya, rakyat akan menyalahkannya kerana beliau adalah Ketua Menteri sedangkan masalah itu datang daripada pelaksana di peringkat kerajaan negeri termasuk kalangan pihak berkuasa tempatan.

Hajiji yang juga pengerusi Sedia turut memberi amaran tegas kepada penjawat awam supaya tidak memperlahankan usaha memproses permohonan pelabur asing dan tempatan ke Sabah.

Beliau berkata adalah mustahak bagi mereka untuk mempercepatkan proses dan memudahkan lagi permohonan pelabur ini untuk mendapatkan kelulusan bagi membuka perniagaan atau kilang di negeri ini kerana kerajaan Sabah adalah mesra pelabur.

“Apabila mereka melewat atau memperlahankan proses kelulusan pelaburan, Sabah akan terus menjadi yang termiskin di negara ini.

“Sesetengah penjawat awam tidak mengetahui kepentingan untuk Sabah memiliki pelaburan ini kerana membelanjakan wang atau melabur di negeri ini bermakna mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan belia tempatan kita terutamanya lepasan universiti berhijrah dan mencari pekerjaan di semenanjung dan Singapura,” kata Hajiji.

Justeru, katanya, beliau telah memaklumkan dengan tegas kepada Setiausaha Kerajaan Negeri supaya mengambil tindakan tegas terhadap pegawai kerajaan yang menghalang atau menangguhkan permohonan kelulusan untuk pelabur.

“Saya telah menetapkan halatuju Sabah berdasarkan pelan dan dasar pembangunan Sabah Maju Jaya supaya Sabah menjadi negeri maju dan mesra pelabur dari dalam dan luar negara.

“Sebagai contoh, terdapat pelabur asing, Esteel yang kerajaan Sabah memeterai  perjanjian pajakan tanah untuk industri minyak dan gas yang akan mewujudkan antara 10,000 dan 20,000 pekerjaan untuk rakyat.

“Justeru, saya amat berharap usaha ini dapat dilaksanakan dengan lancar kerana saya telah menerima banyak laporan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik kepada pegawai kerajaan yang tidak mengikut etika kerja kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji menyeru pihak berkuasa tempatan bersiap sedia sepenuhnya pada musim tengkujuh yang mencetuskan banjir di kawasan masing-masing.

Menurutnya, mereka perlu proaktif dengan membersihkan longkang dan membersihkan semua yang tersumbat bukan sahaja di kawasan perumahan tetapi juga di pekan, tanpa mengira pertindihan bidang kuasa.

“Banjir dan hujan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya. Oleh itu, pegawai daerah, presiden dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak perlu menunggu arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri atau wakil rakyat yang dipilih untuk membersihkan semua longkang.

“Juga, jangan tunggu aduan orang ramai untuk melakukan kerja itu. Sebaliknya mereka harus bekerjasama dalam membersihkan longkang sebagai langkah menghadapi musim tengkujuh,” katanya.

Dalam sidang media, Hajiji berkata kerajaan Negeri belum memutuskan untuk membesarkan Kabinet Negeri.

“Tidak perlu membesarkan Kabinet Negeri. Tetapi jika perlu, Perlembagaan Negeri perlu dipinda,” katanya ketika ditanya mengenai banyak perbincangan mengenai membesarkan Kabinet Negeri.

Mengenai perkembangan terkini Projek Pembangunan Eko Tanjung Aru (Taed), Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata pelan pembangunan lengkap Taed akan siap tahun depan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here