Kota Kinabalu: Penulis muda, Edward Solibi kembali dengan buku kumpulan cerpen keduanya,
Buku berjudul Malam Itu Aku Menjadi Angin, yang memuatkan 26 buah cerpen dan sebahagian besar menceritakan pengalaman diri, turut menterjemah impian dan cita-cita penulis dalam konteks kehidupan bermasyarakat.
“Buku kumpulan cerpen ini merupakan buku kumpulan cerpen saya yang kedua dan ditulis menggunakan bentuk penulisan terkini, dan turut mengadaptasi gaya penulisan realisme magis yang semakin diminati penulis Sabah.
“Namun tetap membawa mesej yang positif kepada masyarakat yang semakin kompleks hari ini,” katanya kepada Harian Ekspres di sini, pada Ahad.
Edward yang juga merupakan Bendahari Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), gembira dan bersyukur dengan penerbitan buku berkenaan, selepas buku kumpulan cerpen beliau yang pertama, Menggenggam Inspirasi.
Buku itu terbitan Iris Publishing di bawah Dana Kementerian Kewangan Malaysia / Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
Edward, penulis yang berasal dari Tamparuli, meminati bidang penulisan kreatif sejak di bangku sekolah dan mula menulis sejak 2014. Karya pertama beliau berbentuk puisi bertajuk Terbang Burung Terbang disiarkan dalam majalah Wadah DBP, pada 2015.