KERAJAAN Negeri akan bekerjasama dengan Unit Pemandu Agenda Bumiputera (Teraju) untuk menjayakan program dan inisiatif pembangunan Bumiputera di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat rombongan Teraju yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Md Silmi Abd Rahman di pejabatnya di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, pada 31 Jan.
Semasa mesyuarat itu, Md Silmi memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030), pelan hala tuju 10 tahun yang menggariskan strategi dengan program dan inisiatif pembangunan yang ketara dan terperinci untuk memberikan impak yang boleh diukur kepada Bumiputera.
TPB2030 adalah kesinambungan dasar dan rancangan Bumiputera terdahulu dengan matlamat memperkasakan ekonomi Bumiputera bagi memastikan kemampanan dan ekuiti, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).
Turut berada dalam rombongan itu ialah Pengarah Samsulkamar Mohamad Ali, Pengarah Bersekutu Noorezly Aimy Mohd Noor dan Muhammad Hilmi Abd Adzis serta Ketua Program - Sabah, Md Redzuan Rahman.