Kota Kinabalu: Dua ahli politik Sabah, Datuk Seri Anifah Aman dan Noorita Sual mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator di Dewan Negara pada Isnin.
Kedua-duanya memberikan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan dan kepercayaan mereka dalam pelantikan mereka.
Mereka antara 16 Ahli Dewan Negara yang mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim.
Anifah, yang juga bekas Menteri Luar, berkata beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat Malaysia dalam kapasiti baharu sebagai Senator.
“Saya komited untuk menegakkan prinsip demokrasi, tadbir urus baik, dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Noorita, yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah, bersyukur atas pelantikan itu dan berbesar hati diberi peluang lagi untuk menjadi sebahagian daripada Parlimen.
Bekas Ahli Parlimen Tenom itu juga berterima kasih kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, kepimpinan parti dan akar umbi atas kepercayaan mereka kepadanya untuk mewakili DAP di peringkat legislatif.
Noorita menambah beliau akan memfokuskan kepada isu-isu wanita untuk mempertahankan hak mereka, meningkatkan peratus penglibatan wanita di pelbagai peringkat dan bidang, di samping perlindungan dan kebajikan kanak-kanak dan warga emas.
“Saya akan memperjuangkan hak orang asal dan penumpuan untuk
membangunkan kawasan pedalaman di Sabah demi mencapai matlamat kemakmuran bersama,” katanya, juga dalam kenyataan.
Daripada 16 Senator dilantik, lima dipilih oleh DUN, iaitu Abdul Nasir Idris dan Musodak Ahmad daripada DUN Kedah; R A Lingeshwaran dan Amir Ghazali (DUN Pulau Pinang) dan Hussin Ismail (DUN Terengganu.
11 lagi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong iaitu Anifah, Noorita, Isaiah D Jacob, Manolan Mohamad, Tan Sri Low Kian Chuan, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, Datuk C Sivaraj, Mohd Hasbie Muda, Abun Sui Anyit and Roderick Wong Siew Lead.