Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 26 tahun, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan diperintah dikenakan enam kali sebatan kerana merogol seorang gadis bawah umur, gagal dalam rayuannya terhadap hukuman itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Leonard David Shim pada Khamis menolak rayuan Muhammad Hafiz Jeral dan mengekalkan hukuman yang dikenakan ke atasnya oleh mahkamah lebih rendah.
Hafiz pada 21 Mac 2021 didapati bersalah dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen di hujung pembelaannya ke atas pertuduhan merogol mangsa berusia 12 tahun itu, jam 10 malam, pada 10 Jun 2019 di sebuah pangsapuri di Sulaman.
Pertuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hafiz, yang diikat jamin, diperintah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh sabitan tetapi dia berjaya memperoleh penangguhan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan mahkamah itu.
Pada Khamis, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Hafiz untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Peguam Muhamad Amirul Amin mewakili peguam Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman bagi mewakili Hafiz.
Sementara itu, kes seorang pekerja binaan rakyat Filipina yang didakwa membunuh isterinya di pusat bandar tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Jessica Ombou Kakayun membuat perintah itu berhubung kes Nul Sadam Jems berikutan permohonan pendakwaan supaya kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Nul, 32, yang memegang IMM13, didakwa melakukan jenayah itu terhadap Nasfidah Japarah, 22, antara jam 10.40 malam dan 11.47 malam pada 22 Mac, 2022 di sebuah bilik sewa, di tingkat tiga, Blok J, Segama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Nul diperintahkan untuk direman lanjut kerana pertuduhan terhadapnya tidak memperuntukkan ikat jamin.