Kota Kinabalu: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad AK Hafiszan, 25, dan Muhd Mazreza Rahimi Kamarul Mazlan, 32, yang dihadapkan secara berasingan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Muhammad didakwa mengedar 641.82 gram kanabis pada 21 April tahun ini kira-kira jam 3.30 petang di hadapan bangunan Impian Automobile, Jalan Pantai Berahi, Putatan, Penampang.
Sementara itu Mazreza didakwa mengedar 113.20 gram 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada hari sama kira-kira jam 9.05 malam di lobi Garden Condominium Bundusan, Penampang.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pertuduhan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 Jun untuk sebutan kes Mazreza manakala kes Muhammad ditetapkan pada 22 Jun sementara menunggu laporan kimia.
Sementara itu kedua-dua tertuduh diperintahkan direman lanjut kerana kesalahan tersebut tidak menawarkan jaminan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.