PETALING JAYA: Anwar Ibrahim akan secara tegas menjawab isu yang Dr Mahathir Mohamad timbulkan dalam saman RM150 juta beliau itu, kata peguam perdana menteri.
“Pendirian anak guam kami seperti mana jawaban terhadap surat tuntuan Mahathir, yang dihantar kepada kami pada Mac,” kata Alliff Benjamin Suhaimi, daripada firma Thomas Philip, yang membela perdana menteri dalam saman itu.
Pada 17 April lepas, peguam Anwar dilapor berkata perdana menteri akan menjawab semua dakwaan Mahathir di mahkamah, sekiranya bekas perdana menteri itu meneruskan samannya itu.
Mahathir dua hari lepas memfailkan saman terhadap Anwar susulan dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu memperkayakan diri, keluarganya, dan rasis, antara lain.
Aliff berkata firmanya akan tampil bagi pihak Anwar. Pengurusan kes jadualkan pada 31 Mei di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Bekas perdana menteri itu menuntut ganti rugi am sebanyak RM50 juta dan ganti rugi teladan RM100 juta.
Mahathir, 97, mendakwa Anwar membuat kenyataannya itu atas kapasitinya sebagai perdana menteri oleh itu ia mempunyai kesan lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.
Beliau mendakwa kenyataan Anwar itu bertujuan menjatuhkan imejnya kerana ia dilihat dan didengar oleh orang ramai, dan ia menjatuhkan imejnya sebagai negarawan dan bekas perdana menteri.
Anwar pada kongres PKR pada 18 Mac lalu, tanpa menyebut nama Mahathir, merujuk ketika seorang bekas bosnya menerajui kerajaan.
Mahathir dilantik sebagai perdana menteri selama 22 tahun antara 1981 hingga 2003 dan sekali lagi selama 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
Anwar menganggotai Jemaah Menteri Mahathir dari 1983 sehingga beliau dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998.