Kota Kinabalu: Seorang bekas pelajar yang menyaman seorang guru dan tujuh yang lain kerana didakwa enggan mengajar subjek Bahasa Inggeris kepadanya lapan tahun lalu, mengalami tekanan emosi dan trauma minor akibat kehilangan peluang untuk mendapatkan pendidikan sewajarnya.
Pakar psikologi Dr Noor Aishah Rosli, 46, berkata dalam dapatan ujiannya, dia membuat kesimpulan bahawa Siti Nafirah Siman, 23, mempunyai purata IQ rendah justeru di bawah purata psikologi rendah dan purata ini tidak mempunyai perbezaan ketara.
“Dia (Siti) mendapat 87 manakala puratanya 90 dan perbezaan tiga mata ini membuktikan dia mempunyai tahap intelek yang baik.
“Untuk tekanan emosi, dia mengalami tekanan emosi dan trauma minor kerana dia ketinggalan dalam pelajaran,” kata Dr Noor yang merupakan pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan kaunselor berdaftar.
Dr Noor memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ismail Brahim dalam pendengaran kes saman yang difailkan oleh plaintif Siti terhadap guru Mohd Jainal Jamrin atau dikenali sebagai Mr JJ (guru Bahasa Inggeris), Pengetua SMK Taun Gusi Suid Hj Hanapi (atas kapasitinya sebagai Pengetua SMK Taun Gusi), SMK Taun Gusi, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Pengarah Pendidikan Sabah, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia.
Plaintif memohon antara lain pengisytiharan bahawa lapan defendan melanggar kewajipan statutori mereka di bawah Akta Pendidikan dengan gagal; memastikan dia diajar bahasa Inggeris dalam tempoh Februari 2015 hingga Okt 2015; menyediakannya untuk peperiksaan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendidikan.
Dia juga memohon pengisytiharan bahawa defendan melanggar kewajipan mereka di bawah Peraturan 3C, 25, 26 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1913; pengisytiharan bahawa perbuatan yang diadukan oleh defendan pertama, kedua, keempat, kelima, ketujuh dan kelapan adalah sebagai misfeasance (gagal laksanakan kewajipan) dalam jawatan awam.
Dia juga memohon pengisytiharan bahawa defendan telah melanggar hak perlembagaannya untuk mendapat akses kepada pendidikan yang dijamin kepadanya di bawah Perkara 5 yang dibaca bersama Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, ganti rugi, kos dan sebarang relif lanjutan serta lain-lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dr Noor sebelum itu memaklumkan mahkamah bahawa dia melakukan dua ujian ke atas Siti untuk menilai status mental dan keupayaan kognitifnya.
“Dalam kes ini, saya telah memilih dua ujian - satu ujian untuk kognitif dan satu lagi untuk emosi. Tujuan ujian ini adalah untuk menilai tahap status mental dan keupayaan kognitif Siti - sama ada dia mampu memahami persekitarannya termasuk proses pembelajaran.
“Ujian emosi itu dipilih untuk menilai sama ada dia mengalami tekanan dan trauma daripada apa yang dilaluinya, terutamanya apabila berkaitan dengan akademik,” kata Dr Noor.
Menjawab soalan peguam Shireen Sikayun yang mewakili Siti, Dr Noor berkata ujiannya yang dijalankan pada 2019 masih relevan walaupun pengalaman Siti berlaku pada 2015.
“Semasa saya menjalankan kedua-dua ujian, saya telah mengambil kira kejadian berlaku pada 2015.
“Saya mempunyai pengalaman 15 tahun dalam bidang ini. Dalam konsep psikologi semasa saya membuat ujian IQ pada tahun 2015, ia tidak akan berubah walaupun kejadian itu berlaku beberapa lama dahulu, manakala dari segi kognitif ia akan berbeza.
“Jika seseorang pada tahun 2015 IQ mereka adalah 75, IQ mereka tidak akan tiba-tiba melonjak kepada 90 dalam beberapa tahun, justeru penemuan saya mengenai tahap kognitif IQ Siti adalah tepat dan boleh digunakan.
“Begitu juga, dengan ujian muhasabah diri yang saya gunakan untuk mengukur emosi, ia boleh digunakan kerana jika kita mengalami trauma, kesedihan, atau tekanan, ia kekal dalam hidup kita. Mustahil untuk emosi itu hilang seolah-olah kita tidak pernah mengalaminya,” kata Dr Noor.
Semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Persekutuan Mohd Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir, Dr Noor bersetuju bahawa dia bekerja di sebuah organisasi swasta dan dia akan mengenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatannya menjalankan ujian dan menyediakan laporan.
Dia juga bersetuju bahawa seorang lelaki bernama Ibrahim telah membayar untuk ujian itu dan bukannya Siti.
Dr Noor tidak bersetuju apabila Mohd Fazriel berkata ia bukan inisiatif Siti untuk bertemu dengannya tetapi inisiatif Ibrahim.
Kepada soalan lain, Dr Noor tidak bersetuju bahawa laporannya berat sebelah kerana dia mengambil kira semua aspek semasa membuat laporan.
Dr Noor seterusnya berkata, sebagai ahli psikologi, tugas utamanya adalah menjalankan ujian psikologi dan sebagai ahli terapi berlesen, dia juga menawarkan kaunseling.
Menurut Dr Noor, dia dihubungi oleh Ibrahim untuk melakukan ujian itu dan dia memberitahu apa yang berlaku di sekolah tersebut.
“Dia (Ibrahim) telah menyatakan bahawa Guru Bahasa Inggeris (Mr JJ) tidak menjalankan tugas utamanya untuk mengajar pelajar tingkatan 4,” katanya.
Kepada soalan lain daripada Mohd Fazriel, Dr Noor berkata apabila dia menyediakan laporannya, dia mengambil kira keluarga Siti.
Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abd Halim juga bersama Mohd Fazriel mewakili defendan.
Perbicaraan ditangguhkan ke 16 – 18 Ogos dan 28 – 30 Ogos.